“Masa makcik bersalin dahulu pada tahun 1970, 1972 dan 1976, makcik tak ikut sangat cara pantang yang melampau… makan saja yang berkhasiat. Well, saya masih sihat, tiada penyakit tiga atau empat serangkai!”

Demikian komen seorang wanita berusia 77 tahun yang dikongsikan oleh pakar perbidanan dan sakit puan, Dr Imelda Balchin, di laman Facebook beliau.

Apa yang ingin ditekankan oleh Dr Imelda adalah supaya para wanita mencontohi warga emas berkenaan, iaitu pentingnya menambahkan ilmu pengetahuan berkaitan kesihatan daripada sumber yang sahih, iaitu doktor, dan bukannya semberono mengikut petua orang lama.

“Alhamdulilah kepada women empowerment, bila masing-masing sudah tambah ilmu pengetahuan kesihatan yang sahih dari pakar yang ahli di dalam bidang yang merawat wanita, tidak kira orang muda atau orang tua, masing-masing akan ada lebih keyakinan untuk membuat pilihan untuk diri sendiri tanpa rasa tertekan dan takut tentang masa depan mereka.

“Dengar saja nasihat doktor pakar Obstetrik & Ginekologi (O&G) tentang makanan sihat untuk seumur hidup, rajin bersenam dan apa anda perlu buat untuk penjagaan organ dalaman untuk jangkamasa panjang,” ujarnya dalam satu perkongsian di Facebook.

IKLAN

Dr Imelda turut berkongsi enam petua penjagaan kesihatan dalaman wanita selepas bersalin yang disyorkan oleh pakar :

1) Untuk kesihatan jangka panjang payudara, rahim dan ovari, ialah menyusu badan. Ini terbukti mengurangkan risiko kanser payudara, kanser dinding rahim dan kanser ovari.
2) Untuk kesihatan jangka panjang pangkal rahim atau serviks, lakukan pemeriksaan kanser serviks seperti pap-smear atau ujian HPV (Virus Human Papilloma).
3) Untuk menjaga payudara, belajar memeriksa payudara sendiri sekali setiap bulan, dan kemudian lakukan ujian saringan mammogram atau ultrasound apabila sudah berumur 40 tahun ke atas.
4) Belajar buat senaman Kegels setiap hari sampai ke tua untuk mencegah peranakan jatuh.
5) Amalkan pemakanan sihat seumur hidup dan rajin bersenam untuk mengurangkan obesiti, diabetes, darah tinggi, penyakit jantung, strok, risiko penyakit kronik tiga serangkai yang juga boleh meningkatkan risiko kanser dalaman dan pelbagai jenis kanser lain.
6) Minta suami untuk berhenti merokok. Ini terbaik untuk kesihatan jangka panjang organ dalaman anda dan kesihatan seluruh keluarga di samping mengelakkan pembaziran wang.

Tambah Dr Imelda, wanita tidak sewajarnya mengikut pantang larang atau petua orang lama untuk menjaga kesihatan dalaman.

IKLAN

“Enam petua yang saya berikan kepada anda semua ini memang sudah terbukti berkesan dan tak mahal pun.

“Tak payah nak menakutkan wanita selepas bersalin dan ugut mereka berpantang macam zaman dulu untuk kesihatan dalaman.

“Apa yang lebih penting untuk penjagaan kesihatan ialah ada ilmu pengetahuan kesihatan yang sahih dan memperkasakan wanita kita,” ujarnya.

IKLAN

 

Sumber : mstar

Mesti Baca :

‘Minta Suami Berhenti Merokok.’ 6 Petua Dr Imelda Untuk Menjaga Kesihatan Dalaman Wanita

Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI