Bila meraikan perayaan Tahun Baru Cina, tentunya buah mandarin akan memenuhi pasaran. Ia adalah amalan tradisi masyarakat cina meraiakan perayaan setiap tahun.
Bukan itu sahaja, buah ini menjadi cenderhati diberikan kepada rakan-rakan sekerja, jiran dan tetamu yang datang.
Namun, buah ini dikatakan jika dimakan dalam jumlah yang banyak boleh menjadi pencetus kepada masalah batuk.
Menurut pakar kimia, Dr Fatimah Salim tidak menafikan ia menjadi penyebab batuk, namun jika dimakan dengan cara yang betul ia tidak memudaratkan.
_____________________________________
Merujuk kepada pertanyaan ahli MaMa mengenai benarkah memakan limau Mandarin boleh menyebabkan batuk dan apakah puncanya?
Jawapannya adalah YA, boleh.
Saya sudah pernah kongsikan dulu, namun tidak salah dikongsikan semula. Jom baca
Kulit limau Mandarin (juga sesetengah buah segar lain juga) mengandungi bahan kimia sulfur dioksida (SO2). Bahan kimia SO2 ini digunakan sebagai pengawet untuk mengekalkan kesegaran dan menghalang pertumbuhan kulat pada buah.
Sebenarnya dalam kuantiti yang sedikit, ianya tidak mendatangkan bahaya kerana badan kita boleh bertoleransi dan mampu untuk detox secara semulajadi. Sebab itu FDA membenarkan ianya sebagai pengawet pada makanan. Untuk sistem badan normal, ianya tidak akan terkumpul dalam badan ya. Tiada istilah, sikit-sikit lama-lama jadi bukit.
Selain daripada penggunaan pada limau Mandarin, bahan kimia pengawet SO2 juga digunakan dalam makanan (contoh buah kering seperti kismis, prune…) dan minuman (minuman berkarbonat dan beralkohol). Jika tidak, mudah saja buah kering ini ditumbuhi kulat dan tidak tahan lama.
Jika mahu membuang bahan pengawat ini, eloklah direndam seketika dan dibasuh beberapa kali dahulu buah limau Mandarin dengan air sebelum dimakan. Ini kerana bahan kimia SO2 mudah larut air membentuk bahan kimia asid sulfurik (yang cair).
Merendam seketika dengan air garam/ baking soda diikuti dengan bilasan air bukan saja boleh membuang pengawet, malah saki baki racun perosak (pesticide) yang terdapat pada sayur atau buah lain juga.
BAHAN AWET PADA BUAH
Adakah semua individu akan terkesan dengan SO2 sebagai pengawet ini?
Tidak. Hanya sesetengah individu sensitif kepada bahan kimia ini yang mana boleh menyebabkan gejala seperti sakit tekak dan batuk. Dan bagi mereka yang mempunyai penyakit asthma pula berpotensi berhadapan dengan masalah pernafasan yang kronik.
Untuk saya dan anak-anak, yang tidak mempunyai masalah kesihatan, kami kopek dan makan terus saja limau Mandarin ini. Tidak semestinya jika kita terkesan, orang lain terkesan sama. Maka, seperti yang saya selalu pesan, ambil tahu tahap kesihatan dan fahami badan sendiri.
Beringatlah…, jika badan sudah mula menunjukkan tindakbalas (gejala), maka sedarlah dan berhentilah. Ingat, apa-apa yang berlebihan boleh membawa mudarat!
Nota: Tahap toleransi ini boleh berubah dengan peningkatan usia. Maka tidak hairanlah jika dulu kita tiada masalah dengan pengawet SO2, kini boleh terkesan pula.
Sumber: Fatimah Salim