Sayu melihat keadaan seorang kanak-kanak perempuan apabila dia masih belum mengerti bahawa ibu bapanya telah meninggal dunia sejak sebulan lalu namun kanak-kanak ini menganggap mereka keluar bekerja.
Aulia Izzatunnisa Mohd Izwan, 3, dari Felda Lok Heng Selatan di sini masih tidak tahu ibu bapanya, Saidatul Khadijah Mohd. Shahridin dan Muhammad Izwan Mansor telah meninggal dunia selepas terlibat dalam nahas kemalangan di Kilometer 46 Jalan Johor Bahru-Mersing bulan lalu.
Nenek kanak-kanak itu, Absah Abdullah berkata, cucunya masih menganggap ketiadaan ibu bapanya di rumah adalah disebabkan mereka keluar bekerja.
Tambahan pula sebelum ini ibu bapanya memang jarang bertemu kerana arwah menantunya, Muhammad Izwan sedang mengikuti pengajian jarak jauh di peringkat ijazah sarjana dan hanya dapat bersama ketika cuti panjang.
“Kami cuba jelaskan kepadanya tetapi dia masih budak lagi dan mungkin tidak mengerti apa yang terjadi kepada ibu bapanya.
“Dia hanya sebut ibu dan ayah work sedangkan kedua mereka telah pergi menghadap Ilahi. Kami juga dapat lihat kesayuan di sebalik wajahnya bila melihat sepupunya yang lain bermanja dengan ibu bapa masing-masing,” katanya.
Sedetik imbas, ibu bapa kepada anak kecil ini maut apabila kereta Perodua Alza yang mereka naiki bertembung dengan sebuah trak pikap jenis Toyota Hilux. Ketika itu Aulia Izzatunniza turut berada dalam kereta, namun hanya cedera.
Ads
Ujar Absah, ketika ini cucunya itu tinggal bersamanya dan menganggap ia adalah amanah yang perlu dijaga dengan penuh kasih sayang.
Tambahnya, dalam kejadian itu kaki kanan cucunya retak dan perlu disimen, namun kini beransur baik.
“Allah lindungi Aulia kerana ketika kejadian dia berada di pangkuan ibunya. Dia dirawat selama tiga hari di hospital sebelum dibenarkan balik.
Ads
“Awalnya memang dia tidak boleh berjalan sendiri kerana kakinya yang bersimen dan perlu dibantu. Doktor sarankan begitu agar membantu proses penyembuhannya,” katanya.
Semoga Aulia diberi kesembuhan dan membesar sebagai anak yang solehah.
Sebut sahaja mengenai Piala Dunia, pasti yang berada difikiran adalah mengenai perlawanan bola sepak yang paling ulung berlangsung 4 tahun sekali ini. Peminat-peminat bola sepak sememangnya ternanti-nanti akan acara ini dan seluruh dunia meraikannya.
Walaupun pasukan Malaysia tidak tersenarai dalam acara ini, namun ramai yang tidak tahu bahawa seorang pemuda bernama Jeshurun Vincent telah membawa nama Malaysia di pentas Piala Dunia Qatar yang berlangsung pada tahun 2022.
Siapakah Jeshuran Vincent? Pasti nama ini agak asing di halwa telinga. Tetapi inilah pemuda yang telah memperkenalkan Malaysia di Piala Dunia Qatar.
Beliau telah bermain muzik instrumental di tempat yang dipanggil Corniche dan di luar stadium, selama lapan hari.
Menurut Jeshurun Vincent atau lebih mesra dengan panggilan Jesh, dia telah mengambil bahagian dalam program pengaktifan budaya yang telah dianjurkan oleh Jawatankuasa Tertinggi untuk Penyampaian Dan Warisan.
“Saya sangat gembira kerana saya dapat membawa Malaysia ke Piala Dunia melalui muzik saya. Ia satu rahmat yang besar.”
Bercerita mengenai penglibatannya dalam muzik, menurut pemuda berusia 35 tahun ini,
“Sebenarnya ini bukan karier saya, music adalah “passion” saya. Setelah kehilangan deria pendengaran sebelah kiri pada usia 19 tahun, saya mengalami kemurungan dan pada waktu itu saya telah mengunakan muzik sebagai salah satu cara untuk mengatasi masalah tersebut.
“Pada waktu itu juga, saya merasakan mungkin terdapat lebih ramai orang seperti saya yang mungkin mengalami masalah yang sama dan mungkin memerlukan kata-kata semangat.
“Bermula dari itu, saya memulakan perjalanan muzik saya ke satu negara ke negara yang lain.
Pada awal penglibatannya, dia akan ke luar negara selepas waktu kerja setiap hujung minggu. Kadang kala Jesh akan berada di luar negara selama 4 hari dengan 4 negara yang berlainan.
Namun apabila perkara ini diketahui oleh majikannya, mereka telah memberi kelonggaran untuknya memasuki pejabat dengan syarat-syarat tertentu.
Bercerita mengenai pembabitannya dalam Piala Dunia Qatar, Jesh berkata;
“Bulan September lepas , saya dalam proses perancangan ke Africa Barat dan disebabkan itu saya mempunyai transit 3 hari di Doha, Qatar.
“Kebetulan sewaktu di sana, Malaysia Qatar Association mengadakan Majlis Gala Dinner dan saya juga turut diundang untuk bersama dan membuat persembahan.
“Selepas itu, saya telah mendapat DM di Instagram daripada seorang yang bernama Mr Jerry yang amat tersentuh setelah mengetahui cerita saya. Beliau memberitahu saya tentang “FIFA World Cup Cultural Activation” dimana ada pertunjukkan budaya, muzik dan banyak lagi berdekatan stadium dan sekitar kawasan-kawasan fanzone dan meminta saya menghantar kertas cadangan.
“Pada mulanya, mereka mengatakan peluang agak tipis memandangkan terlalu banyak permohonan dari seluruh dunia untuk mengikuti acara ini.
Selepas itu, saya mengambil inisitif untuk menghubungi pihak penganjur bagi mengetahui status permohonan saya dan dimaklumkan bahawa kertas cadangan saya telah ke peringkat rundingan terakhir dan keputusan akan diketahui.
Beberapa minggu selepas itu, saya mendapat email rasmi yang mengatakan permohonan saya berjaya untuk ke Qatar bermain muzik di FIFA Cultural Activation. Matlamat utama program ini adalah untuk memupuk uniti melalui muzik dan pelbagai aktiviti seni, dalam masa yang sama membawa Malaysia ke pentas Piala Dunia.
Bercerita mengenai persiapannya untuk menghadapi acara ini, pada awalnya dia menghadapi kesukaran untuk mendapatkan tiket ke Qatar akibat harga tiket yang melambung naik.
“Mujurlah isteri saya membantu sedikit. Penerbangan saya ke sana 2 hari sebelum persembahan saya dijadualkan.
“Sampai disana saya amat kagum dengan Qatar dan berkenalan dengan ramai artis dari seluruh dunia.
“Pada hari pertama saya excited sangat sampai nervous tetapi penganjur memberi sokongan dan saya berjaya bermain 5 lagu instrumental di sana.
Mengenai sambutan dari para pengunjung, Jesh berkata;
“Mereka sangat tertarik dengan persembahan ini kerana salah satu lagu instrumental yang dimainkan adalah lagu Hayya- Hayya iaitu lagu Tema Piala Dunia Qatar. Mereka juga tertarik dengan style persembahan yang disampaikan. Walaupun berbeza bahasa, muzik saya menjadi jambatan perhubungan saya dengan mereka .
“Saya benar-benar tidak sangka apa yang saya persembahkan sejak tahun 2014 ini dapat membawa saya bermain di acara antarabangsa kerana ramai yang mengatakan peluang ini memang agak mustahil untuk didapati.
“Sejak hari pertama membuat persembahan di sana, saya merasakan ianya seperti satu mukjizat besar dalam hidup saya. Cuma ibu saya yang banyak mendorong saya dari kecil tidak ada di sisi saya untuk melihat pencapaian ini.” ujar Jesh, ibunya telah meninggal dunia pada tahun 2020.
“Saya rasa amat bertuah kerana secara langsung dan tidak langsung telah membawa Malaysia ke Piala Dunia melalui muzik. Ia sesuatu yang bermakna bagi saya.
“Sepanjang membuat persembahan di sana, saya sentiasa mengikat bendera Malaysia bersama. Orang Malaysia yang menetap di sana mahupun yang datang berkunjung telah berhenti untuk menonton persembahan saya dan memberi kata-kata sokongan.
“Apa yang saya tidak dapat lupakan apabila mereka berkata , ‘Dari Malaysia pun ada juga wakil kita.’ Rasa bangga apabila bahasa Melayu digunakan di negara orang.
“Saya mengambil peluang untuk berkongsikan tentang Malaysia kepada para pengunjung dan ramai rakyat asing yang datang bergambar dengan saya bersama bendera Malaysia serta Guitar case saya yang mengandungi bendera-bendera negara yang pernah saya kunjungi. Qatar adalah negara yang ke 123 saya kunjungi untuk mempersembahkan muzik.
Mengenai pengalaman yang tidak dapat dilupakan, Jesh berkata;
“Salah satu lagi pengalaman yang tidak dapat dilupakan apabila sedang membuat persembahan, ada sekumpulan pelajar dari Kaherah yang datang menonton. Mereka berkata, ‘Bukan hanya muzik sahaja tetapi cerita saya juga menyentuh mereka.’
Mengakhiri perkongsiannya, Jesh berkata dia amat bersyukur melalui pengalaman 8 hari di Qatar lebih-lebih lagi dapat membawa nama Malaysia ke Piala Dunia.
Ibu bapa mana tak teruja untuk menyambut hari kelahiran anak buat kali pertama. Pelbagai persiapan diadakan bagi memenuhi impian anaknya. Paling dititik beratkan adalah minat anaknya terhadap sesuatu animasi ataupun kartun yang turut dijadikan sebagai tema majlis untuk memastikan anaknya teruja.
Kisah wanita ini pastinya mengundang sebak. Setelah sebulan bertungkus lumus membuat persiapan untuk meraikan ulang tahun anak yang pertama yang bertemakan Cocomelon, keesokan harinya dia pergi meninggalkan permata hatinya itu.
Ucapan Hari Lahir
Selepas majlis sambutan hari lahir yang turut diraikan oleh sanak saudara dan kenalan, wanita yang bernama Athirah Jaafar ini sempat menitipkan ucapan dan doa buat permata hatinya, Muhammad Haider Yusuf di laman sosial.
Dijemput Ilahi Sehari Selepas Sambutan Ulang Tahun Anak
Tiada siapa dapat menduga, baru terlakar detik bahagia tiba-tiba bertukar sedih. Perkhabaran bahawa Athirah Jaafar telah meninggal dunia selepas pengsan ketika berada di tempat kerja sebelum di bawa ke salah sebuah pusat perubatan di Sarawak telah di sampaikan oleh makciknya.
Suami kepada Athirah Jaafar amat terkesan dengan pemergiaan isterinya yang sangat mengejut. Menerusi laman Facebooknya, Mumin Mohd redha dengan pemergiaan isterinya. Turut meluahkan rasa pilu bahawa perasaan cinta dan sayangnya kepada arwah tiada terganti.
Semoga arwah ditempatkan dikalangan orang-orang beriman. Amin
Murid tahun 1 dirai dengan maskot Bumblebee dan Optimus Prime, hilang gementar pergi sekolah. Murid tahun 1 sudah mula menjejakkan kaki ke sekolah. Mungkin ada yang sudah biasa dengan suasana di sekolah namun tidak kurang juga yang berasa asing bila berada di sekolah.
Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Perai meriah apabila murid-murid yang memulakan sesi persekolahan bagi sesi 2025/2026 termasuk Tahun 1 disambut oleh maskot gergasi Bumblebee dan Optimus Prime, watak popular daripada siri filem Transformers.
Murid-murid SK Kuala Perai bergambar bersama maskot Sang Kancil, Bumblebee dan Optimus Prime yang berada di hadapan sekolah pada hari pertama persekolahan pada Isnin.
Dengan ketinggian hampir tiga meter, kedua-dua maskot tersebut menarik perhatian bukan sahaja dalam kalangan murid malah ibu bapa serta guru yang hadir mengiringi anak-anak mereka untuk sesi persekolahan pertama tahun ini.
Menurut Guru Besar SK Kuala Perai, Aini Najwa Othman, idea tersebut tercetus bagi mengurangkan rasa cemas dan takut dalam kalangan murid-murid baharu yang pertama kali menjejakkan kaki ke sekolah.
Dua murid teruja apabila dapat bersalaman dengan maskot robot sebelum memasuki pekarangan sekolah untuk memulakan sesi persekolahan.
“Kami memahami bahawa hari pertama sekolah boleh menjadi satu pengalaman yang mendebarkan bagi murid-murid Tahun 1.
“OLEH ITU, PIHAK SEKOLAH INGIN MELAKUKAN SESUATU YANG BERBEZA, SESUATU YANG BOLEH MEMBUATKAN MEREKA TERUJA DAN GEMBIRA UNTUK MEMULAKAN PERJALANAN BAHARU INI.
“Usaha ini juga sebagai peniup semangat kepada murid-murid sekolah terutamanya prasekolah dan Tahun 1. Kedua-dua maskot robot dan Sang Kancil akan berada di sini selama dua jam,” katanya ketika ditemui di pekarangan sekolah di sini pada Isnin.
Beliau berkata, SK Kuala Perai menerima 46 murid Tahun 1 dan lebih 40 murid prasekolah bagi sesi 2025/2026.
Dalam pada itu, ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka turut memuji usaha pihak sekolah dalam menceriakan hari pertama persekolahan.
Muhammad Daniel Abdullah, 33, berkata, dia berasa lega apabila raut wajah anaknya bertukar ceria selepas ternampak dua maskot robot di hadapan sekolah.
“SAYA MEMANG RISAU SEBAB ANAK SAYA PRASEKOLAH, JADI INI KALI PERTAMA DIA MASUK SEKOLAH. TADI DI RUMAH, MUKA DIA NAMPAK RISAU, TAKUT. SAYA PUN RISAU ANAK SAYA MENANGIS SELEPAS SAMPAI DI SEKOLAH.
“Tetapi apabila sampai depan sekolah, raut muka dia dah berubah. Dia nampak seronok dan tidak menangis selepas masuk ke kawasan sekolah. Lega saya. Bagus sekolah buat usaha ini,” katanya.
Pekerja kilang, Zan Azriani Rahim, 36, berkata, usaha sekolah dengan membawa dua maskot robot di hadapan sekolah adalah tindakan bijak.
“Saya puji dengan usaha ini, murid-murid jadi semangat nak masuk sekolah terutamanya murid Tahun 1 seperti anak saya.
“Mereka lupa dengan perasaan gementar untuk mengikuti alam persekolahan,” katanya.
Suri rumah, Saforah Awang, 31, berkata, dia berharap agar pihak sekolah meneruskan usaha seperti ini dalam memberi semangat kepada murid-murid untuk datang ke sekolah.
“Usaha ini wajar diteruskan, bukan saja murid-murid malah kami sebagai ibu bapa pun seronok tengok anak-anak gembira masuk sekolah,” katanya.