Pemandu bas mohon maaf, dakwa brek tiba-tiba gagal berfungsi. “Saya mohon ampun kepada seluruh keluarga mangsa dan para pelajar yang terlibat dalam insiden tragis itu. Kejadian ini berpunca daripada kegagalan brek bas secara tiba-tiba.”
Pemandu Bas Mohon Maaf, Dakwa Brek Tiba-tiba Gagal Berfungsi
Demikian penjelasan penuh kesal oleh Mohd Amirul Fadhil Zulkifle, 39 tahun, pemandu bas yang terlibat dalam kemalangan ngeri awal pagi semalam di Jalan Raya Timur-Barat, berhampiran Tasik Banding, Gerik, yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Menurut beliau, bas yang memulakan perjalanan dari Terengganu tidak menunjukkan sebarang masalah teknikal pada awalnya. Namun, sewaktu melalui kawasan lintasan gajah di Gerik, sistem brek tiba-tiba tidak berfungsi.
“Saya telah cuba pelbagai cara untuk mengawal bas, tetapi malangnya, sistem angin dalam bas juga gagal berfungsi menyebabkan brek tangan dan gear turut tidak dapat digunakan,” jelas beliau yang kini dirawat di Hospital Taiping, Perak.
Dalam keadaan panik itu, katanya, beliau sedaya upaya mengelak daripada melanggar kenderaan lain.
“Saya sempat elak beberapa buah kenderaan termasuk sebuah lori. Yang terakhir saya potong ialah sebuah kereta yang ada dashcam. Waktu itu saya memang cuba elak rempuh orang lain,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa walaupun dari luar kelihatan seperti beliau memandu secara melulu, hakikatnya beliau sedang cuba mengelak bahaya.
“Bas ketika itu menuruni selekoh dan saya tahu laluan Jeli–Gerik ini sangat mencabar. Orang lihat saya potong dan laju, padahal saya cuba elak pelanggaran,” katanya sambil menahan sebak.
Ads
Mohd Amirul yang sudah membawa bas sejak 2016 turut memberitahu bahawa dia telah memberi amaran kepada para pelajar sejurus menyedari brek tidak berfungsi.
“Saya jerit minta mereka bersedia. Yang duduk di hadapan mungkin dengar, tapi ramai di belakang sedang tidur dan mungkin sangka saya marah,” katanya.
Bas berkenaan, katanya, bergerak lebih satu kilometer dalam keadaan brek gagal berfungsi sebelum kemalangan berlaku.
“Saya sudah lakukan sebaik mungkin dalam situasi itu. Saya tidak bawa laju seperti yang dikatakan. Saya sendiri kenal laluan ini dan tahu ia berbahaya terutama ketika menurun bukit,” tambahnya.
Beliau juga berkata bahawa selepas bas terbalik, dia pengsan seketika. Namun selepas tersedar, dia merangkak keluar melalui cermin hadapan yang pecah dan menjerit meminta para pelajar menyelamatkan diri melalui laluan sama.
Ads
“Saya sangat sedih melihat keadaan pelajar-pelajar selepas keluar dari bas. Saya menangis… saya sendiri tidak sangka akan hadapi kemalangan seburuk ini,” katanya dalam nada penuh emosi.
Insiden ini, menurutnya, adalah pengalaman pertama beliau terbabit dalam kemalangan serius sepanjang kerjayanya sebagai pemandu bas. Kini, beliau menunggu untuk menjalani pembedahan akibat patah tangan kiri.
“Saya reda dengan ketentuan Allah. Saya mohon maaf kepada semua dan serahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak berkuasa,” katanya yang berasal dari Besut, Terengganu.
Siasatan awal polis memaklumkan, kemalangan berlaku apabila bas yang membawa pelajar UPSI itu melanggar belakang sebuah MPV sebelum terbabas dan terbalik. Tragedi ini telah meragut 15 nyawa pelajar dalam perjalanan mereka dari Terengganu ke universiti di Tanjung Malim.
Kekosongan jawatan guru, KPM tawar 6,300 calon Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan. Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan pendekatan baharu bagi mengatasi isu kekurangan guru dengan menawarkan penempatan kepada 6,300 calon program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di seluruh negara bagi mengisi kekosongan jawatan guru tahun ini.
Kekosongan Jawatan Guru, KPM Tawar Penempatan 6,300 Calon Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, perjawatan itu ditawarkan kepada golongan berkenaan bagi mengatasi isu kekurangan guru di sekolah seliaan KPM di seluruh negara.
“Pada tahun ini, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) menawarkan 6,300 slot untuk PISMP, sebelum ini kita tidak benarkan untuk isi 100 peratus.
“Tahun ini, kita berjaya mendapatkan calon dan membuat penawaran 100 peratus kepada 6,300 orang ini untuk semua jenis sekolah seliaan KPM.
“Mereka telah pun ditawarkan dan ditempatkan (sekolah). Ini amat penting untuk memastikan dalam lima tahun hadapan apabila golongan ini keluar, maka isu itu dapat diselesaikan secara berperingkat,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen Kuala Lumpur, hari ini. – Foto BERNAMA
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai isu kekurangan guru bukan hanya berlaku di Sarawak, malah isu sama di Semenanjung juga masih belum diselesaikan.
Mengulas lanjut, Wong berkata, KPM mengambil pendekatan baharu termasuk memperluaskan pengambilan lantikan kontrak (COS) kepada lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Program Matrikulasi.
“Seingat saya, apabila kerajaan (Madani) mengambil alih pada 2022, peratusan pengisian guru secara keseluruhan di peringkat kebangsaan dalam lingkungan 95 peratus.
“Dalam dua tahun kebelakangan ini, banyak pendekatan diambil termasuk pengambilan dari COS tahun ini. Kita buka sesetengah pengkhususan dari STPM, STAM dan matrikulasi bertujuan memastikan calon mencukupi untuk menampung keperluan dan mengisi semua kekosongan
“Sebelum ini, PISMP hanya ambil dari SPM sahaja (tetapi) tahun ini (KPM) mula (pengambilan) sesetengah kursus (perluaskan kepada) aliran ada STAM, STPM dan matrikulasi,” katanya.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan bahawa sekolah sesi petang yang melibatkan murid dan guru beragama Islam di negeri-negeri Semenanjung Malaysia akan menamatkan sesi persekolahan lebih awal, iaitu pada jam 5.30 petang sepanjang bulan Ramadan.
Bagi sesi petang persekolahan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pula tamat jam 5 petang manakala sekolah sesi pagi akan beroperasi seperti biasa.
“KPM menyediakan ketetapan berkaitan waktu persekolahan itu bagi memastikan pengoperasian sekolah berjalan lancar dan murid serta guru beragama Islam dapat menunaikan ibadat pada bulan Ramadan dengan selesa.
“KPM mengambil serius hantaran tidak bertanggungjawab yang cuba ditularkan oleh sesetengah pihak dalam laman media sosial berkenaan pengoperasian sekolah dalam bulan Ramadan pada tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan tersebut, pengoperasian sekolah sepanjang bulan Ramadan bagi sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan berjalan seperti biasa, sama seperti tahun-tahun sebelumnya.
KPM juga menegaskan bahawa ketetapan ini dibuat berdasarkan Surat Siaran KPM Bilangan 3 Tahun 2022, yang masih berkuat kuasa.
Selain itu, KPM mengarahkan semua Pengarah Bahagian dan Pengarah Pendidikan Negeri untuk mengingatkan pengetua serta guru besar institusi pendidikan di bawah KPM agar mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan dalam surat siaran tersebut.
Dalam masa yang sama, KPM menasihatkan orang ramai supaya merujuk kepada sumber rasmi kementerian dan tidak mudah terpengaruh dengan hantaran di media sosial yang berniat mengelirukan masyarakat.
Tangkap layar kenyataan media mengenai sesi persekolahan pada bulan Ramadan.
Sumber: Berita Harian
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Hati mana yang tidak meruntun jiwa apabila kehilangan insan yang dikasihi pergi secara mendadak. Begitulah yang dirasai kini buat usahawan dan pempengaruh media sosial, Ridzuan Ridzokumura, berkongsi bahawa emosi anaknya, Sky Taizo Okumura, 13, masih belum stabil selepas kehilangan ibu tercinta, Akiko Okumura, pada Jumaat lalu.
Menurut Ridzuan, atau nama sebenarnya Abdul Ridzuan Abdul Mutalib, 50, anak tunggalnya itu masih sering menangis setiap kali terkenangkan ibunya.
“Sky baru masuk 13 tahun dia sangat-sangat terasa setiap mlm menangis cari Arwah mak dia ya Allah kau kuat kan lah semangat sky dan saya Amin…”
“Setiap hari Sky menangis sekejap ok, sekejap ingat mummy menangis lagi. Ya ALLAH, kuatnya dugaan hidup ini,” kongsi Ridzuan menerusi akaun media sosialnya.
Dalam pada itu, Ridzuan beranggapan pemergian isterinya secara mendadak membuatkan dirinya sebagai burung kehilangan sebelah sayap.
“Abang terasa seperti burung yang kehilangan sebelah sayap. Insya-ALLAH abang cuba kuatkan semangat untuk Sky. Doakan kami sekeluarga. Terima kasih,” katanya beserta video sedang memeluk Sky.
Dalam pada itu, menerusi sesi siaran langsung di TikTok pada pagi Ahad, Ridzuan mendedahkan bahawa Sky masih dalam proses menerima hakikat pemergian ibunya.
“Lepas itu bila bangun tidur, Sky akan cari mak dia. Kemudian dia akan sedih balik.
“Sky kata kenapa Tuhan ambil mak dia masa umur dia 13 tahun,” ujar Ridzuan. “Sky bila dengan orang yang dia rapat, dia akan menangis, sedih. Sedih sebab teringat mak dia.
Untuk rekod, Ridzuan mendirikan rumah tangga dengan Akiko yang juga merupakan seorang wanita asal Jepun pada Februari 2009. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Sky Taizo Okumura yang kini berusia 13 tahun. Isteri kepada Ridzuan iaitu Akiko Okumura telah meninggal dunia pada 28 Februari 2025.
Di saat rakyat Malaysia terus dihimpit tekanan hidup daripada kos sara hidup yang melambung, kerjaya yang tak menentu, hingga hubungan peribadi yang semakin renggang hadir semula satu peluang untuk mereka yang nekad nak ubah hidup, bukan sekadar luaran, tapi dari dalam.