Pemergian aktor veteran Lan Zailan pada usia 66 tahun akibat kanser pankreas meninggalkan kesan mendalam kepada para peminat.
Seolah-olah menyedari masanya sudah hampir, pelakon yang juga bapa kepada lima cahaya mata ini sempat menyampaikan pesanan terakhir kepada anak-anaknya.
Menurut laporan portal hiburan tempatan, Allahyarham sempat bertemu dengan kesemua anaknya sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Anak lelaki yang berada di Muar, Johor, turut sempat pulang untuk bersama di saat akhir. Allahyarham juga banyak berbicara dengan anak-anaknya, seolah-olah ingin meninggalkan kata-kata terakhir penuh bermakna.
“Dia tinggalkan pesan supaya sentiasa menjaga antara satu sama lain.”
“Sebenarnya arwah pelik juga apabila ramai datang dan berkumpul. Dia masih boleh bercakap dengan orang yang datang walau tidak banyak,” ujar isteri, Ruby Sara Omar.
Dalam pada itu, anak sulung Allahyarham, Baizura, menzahirkan rasa syukur kerana urusan pengebumian bapanya berjalan lancar, ditambah pula dengan keindahan cuaca yang begitu baik pada hari tersebut.
Menurut wanita itu, keadaan tersebut mungkin disebabkan oleh sifat bapanya yang mudah disenangi ramai serta keperibadiannya yang ceria dan gemar berjenaka untuk menghiburkan orang sekeliling.
“Alhamdulillah dari awal lagi memang semuanya senang dan mudah. Cepat saja semuanya berjalan, malah cuaca juga sangat redup saja memberi kesenangan untuk semua yang melawat di sini.
Ads
“Dari awal kami menguruskan untuk mandi jenazah, kemudian uruskan masjid dan kubur, semuanya mudah.
“Kalau tanya saya apa amalan dia, mungkin kami tak nampak tapi semua kawan dia yang berjumpa saya semuanya cakap dia baik, semalam pun abang Ako Mustapha pun datang mengatakan arwah seorang yang baik, walaupun mereka tak selalu shooting bersama.
“Arwah di set, dia suka buat orang gelak. Malah keluarga mertua pun sangat sayangkan dia sebab dia cakap arwah seorang penghibur. Ada saja benda dia nak buat orang gelak.
“Dia memang suka buat lawak, mengusik dan bergurau tapi dia sebagai seorang bapa, dia seorang yang fleksibel, apa yang anak dia nak buat, dia sokong,” katanya.
Ads
Baizura turut meluahkan rasa syukur kerana diberi peluang meluangkan masa bersama arwah sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir.
“Alhamdulillah kami adik-beradik juga dapat berkumpul dan sehingga arwah menghembuskan nafasnya yang terakhir.
“Sebenarnya ayah sudah keluar hospital dan masuk hospital balik atas permintaannya, jadi kami hormat apa yang dia nak.
“Dia masuk hospital pada Ahad, dan masa cepat berlalu sebab doktor katakan dia ada tiga bulan tapi kami ada masa tiga hari bersamanya itu sudah cukup bersyukur kerana jujurnya semua sangat mudah.
“Kami juga sudah reda dari awal sebab kami tahu dia sakit dan saya juga sudah pesan pada adik-beradik, apa saja keputusannya dan apa saja yang kita lalui di depan, kita doa banyak, ALLAH permudahkan apa saja. Kami semua sepakat terima dengan baik dan dia pun melepaskan kami semua dengan senang hati,” kongsinya.
Ads
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ22 pada pagi Khamis.
Arwah sebelum ini disahkan menghidap kanser pankreas tahap empat dan telah menjalani rawatan sejak 27 November sebelum dibenarkan pulang pada Sabtu.
Ruby berkahwin dengan Lan pada 2020.
Allahyarham memiliki lima cahaya mata hasil perkahwinannya bersama arwah isterinya iaitu Hasnah Mohd Taib.
Kemunculan Datuk Seri Siti Nurhaliza menyampaikan laporan cuaca di YouTube Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) yang turut disiarkan saluran Berita RTM, petang tadi, dipuji ramai.
Siti yang mengenakan sut rona hitam tampak bersahaja dan yakin ketika menyampaikan laporan kaji cuaca seluruh negara.
Siti turut memuat naik hantaran ke Instagram (IG) mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta MetMalaysia atas undangan menjadi penyampai itu.
“Terima kasih kepada kementerian melalui MetMalaysia kerana mengundang saya menyampaikan ramalan cuaca hari ini sebagai penyampai selebriti.
“Kolaborasi itu diharap dapat menggalakkan orang ramai mengikuti laporan cuaca dan bertindak mengikut nasihat berkaitan risiko bencana seperti banjir, angin kencang serta laut bergelora,” katanya.
Selain saluran YouTube, laporan kaji cuaca berkenaan turut disiarkan Berita Wilayah di RTM 1 jam 5 petang tadi dan Berita RTM jam 8 malam ini.
Dalam tempoh kurang sejam, video yang disiarkan di saluran YouTUbe itu sudah meraih lebih 1,000 tontonan.
Dalam reaksinya, seorang pelayar YouTube itu mendakwa tidak pernah menonton laporan kaji cuaca.
“Saya tak pernah tengok berita cuaca. Tapi sebabkan Siti yang sampaikan, saya tengok,” komennya.
Sementara itu, seorang lagi pengunjung kagum dengan cara penyampaian penyanyi tersohor itu.
“Nada Datuk Siti macam penyampai berita dulu-dulu…Best,” komennya.
Sebelum ini, penyanyi itu pernah muncul membaca berita untuk Awani, kira-kira tiga tahun lalu.
Tular klip rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di media sosial didakwa berkaitan kejadian serangan asid membabitkan pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim di sebuah pusat beli belah di Kota Damansara, 5 Mei lalu.
Klip rakaman CCTV berdurasi 56 saat itu dikesan mulai ditularkan oleh beberapa pemilik akaun laman X, hari ini.
Dalam klip rakaman kelihatan seorang lelaki disyaki penyerang dalam kejadian itu bersembunyi di belakang sebuah kenderaan di tempat parkir kenderaan sebuah bangunan.
Kemudian kelihatan kelibat seorang lelaki dipercayai Faisal sedang berjalan diekori seorang wanita di belakang dipercayai isterinya menuju ke arah sebuah kereta.
Lelaki yang bersembunyi di belakang kenderaan itu kemudian keluar dari belakang kenderaan dan mengekori lelaki dipercayai Faisal sebelum menyimbah sesuatu ke arahnya sebanyak dua kali.
Lelaki dipercayai Faisal cuba mengelak daripada terkena simbahan sebelum dilihat lari dari tempat kejadian untuk menyelamatkan diri.
Penyerang yang bertopi dan berpelitup muka itu kemudian melarikan diri dengan membonceng sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki yang siap sedia menunggunya tidak jauh dari tempat kejadian.
Bagaimanapun, buat masa ini BH sedang menunggu pengesahan daripada polis berkenaan kesahihan klip rakaman CCTV berkenaan.
Pada 5 Mei lalu, negara digemparkan dengan insiden simbah asid membabitkan Faisal menyebabkan tonggak utama Harimau Malaya berusia 26 tahun itu cedera melecur tahap empat.
Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 5 petang itu didalangi dua individu bermotosikal.
Kelmarin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan Unit Forensik, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menemukan lapan kesan cap di lokasi kejadian simbah asid membabitkan pemain kebangsaan Faisal Halim, namun hanya tiga cap jari sahaja cukup sifatnya.
Kes simbah asid Faisal Halim: Hanya 3 cap jari cukup sifat – Razarudin#BHNasional Siasatan dalam sistem pangkalan data mendapati tiada padanan dengan cap jari cukup sifat itu.https://t.co/ZlqPKeeISg
Menurutnya, hasil lapan cap jari yang dianalisa itu, limanya tidak cukup sifat manakala tiga lagi cukup sifat.
Bagaimanapun semakan dalam sistem pangkalan data mendapati tidak timbul padanan dengan cap jari cukup sifat itu.
BH sebelum ini melaporkan polis sedang menganalisa cap jari yang ditemukan di lokasi kejadian simbah asid membabitkan pemain kebangsaan, Faisal Halim.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain dilaporkan berkata hasil semakan CCTV di sekitar pusat beli belah didapati suspek ada menyentuh beberapa kawasan atau tempat sehingga meninggalkan cap jari.
PDRM baru-baru ini turut mengedarkan satu lakaran fotofit suspek yang dikenal pasti memakai topi celoreng tentera dan pelitup muka bercorak ketika kejadian.
Selain itu, suspek dianggarkan berusia 30 tahun, berketinggian 165 sentimeter (sm) dengan saiz susuk badan sederhana dan berkulit sawo matang.
Adik Umar atau nama sebenarnya Umar Amirul Shakur Haiccal bukan sahaja bertuah kerana mendapat peluang mewawancara tokoh negarawan terhebat iaitu Tun Dr Mahathir Muhammad malah kehadirannya telah mendapat liputan dari beberapa laman sosial. Lebih membanggakan lagi Tun Dr Mahathir sendiri juga bebesar hati mengabadikan momen tersebut di laman sosial beliau. Namun pasti ramai tertanya-tanya di sebalik temuramah tersebut. Bagaimana Umar terpilih dan apa yang berlaku sepanjang temuramah tersebut.
Pertemuan yang sangat singkat namun penuh bermakna ini sebenarnya di atur oleh pihak Bintang Kecil Nu Ideaktiv. Adik Umar yang sememangnya merupakan salah seorang hos untuk Saluran Youtube Bintang Kecil di pilih untuk menjayakan episod pertama BK MEET LAGENDA.
Ramai yang kagum dengan kepetahan kanak-kanak cilik ini yang tidak kekok berhadapan dengan bekas pemimpin negara itu. Malah kebijaksaan dan kepetahan Umar telah menambat hati Tun M yang menulis panjang lebar mengenai Umar di laman sosial @chedetofficial. Kanak-kanak berusia 12 tahun ini sememangnya punya pengalaman dalam dunia lakonan dan pengacaraan. Pernah membintangi beberapa drama dan menjadi pengacara dalam segmen adik tanya di rancangan Pa&Ma yang pernah bersiaran di Astro RIA.
Berikut adalah kronologi pertemua antara Umar dan Tun Dr Mahathir Muhammad
1. Bintang Kecil Nu Ideaktiv merupakan pihak yang bertanggungjawab mengatur pertemuan ini dan Umar terpilih berdasarkan pengalaman serta kepetahannya.
2. Bintang Kecil yang aktif menerbitkan video-video inspirasi bagi kanak-kanak di Platform Youtube telah mengadakan segmen baru bagi tahun 2023 iaitu BK Thowback Lagenda. Ianya membuka peluang kepada kanak-kanak untuk bertemu tokoh /idola mereka namun dalam masa yang sama memperkenalkan golongan yang pernah mengharumkan nama negara kepada generasi muda.
3. Umar merupakan salah seorang peserta yang terpilih untuk bertemu dengan idolanya iaitu Tun Dr Mahathir Muhammad sekaligus membuka tirai segmen ini bagi episod pertama yang ditayangkan Februari ini.
4. Episod pertemuan ini seumpama atuk dengan cucu. Keduanya tidak kekok walaupun pertama kali berjumpa. Malah Tun M dengan ‘sporting’ melayan keletah Umar apabila ditanya mengenai helmet Star Wars yang terdapat di biliknya.
5. Aksi Umar mengajar Tun M membuat mini love mengundang tawa kru produksi malah ianya tidak di rancang dan Tun M juga dengan sporting melayan permintaan Umar untuk membuat mini love semasa bergambar.
6. Umar dan Tun spontan bercakap loghat kedah
7. Tun Dr Mahathir sempat berikan nasihat kepada Umar andai ingin menjadi seorang PM.
8. Soalan spontan dari Umar mengenai umur Tun M membuatkan ramai terkejut. Tapi Tun M tetap cool menjawab soalan itu. Paling mendebarkan apabila Umar bertanya kepada Tun M, ‘Apa Perasaan 2 Kali Menjadi Perdana Menteri?’ dan apakah aktiviti yang Tun M lakukan kini selepas kegagalannya mempertahankan kerusi?. ‘
Nak tahu apa jawapan dan nasihat Tun Dr Mahathir pada Umar tonton video ini sampai habis:
Lima beranak yang dilapor hilang sudah ditemui, semua selamat. Lima sekeluarga dilaporkan hilang setelah keluar dari sebuah rumah di Persiaran Rimba Permai, Sepang, Jumaat lalu telah ditemui selamat.