Melentur buluh biarlah dari rebungnya, demikian juga dalam hal mendidik anak-anak. Ibu bapa perlu memainkan peranan sedari awal kandungan lagi.

Anak-anak adalah amanah Allah. Kitalah yang mencorakkan keperibadian mereka. Mana mungkin anak-anak akan mendengar kata andai sebagai ibu bapa tidak menunjukkan contoh yang terbaik. Konflik keluarga yang dipaparkan di kaca televisyen bukan omongan kosong bahkan ada yang benar-benar berlaku dalam masyarakat kita dewasa ini.

Sentiasa Beringat Anak – Anak Ujian Dari Allah SWT Untuk Kita Sentiasa Bersabar.
Dr Hasiba Kamaruddin

Justeru, Dr Hasiba Kamaruddin menerusi laman facebooknya berkongsi kupasannya hasil bacaan mengenai kisah Nabi Yaakub dan anak-anaknya. Betapa hebatnya Nabi Yaakub dalam menangani karenah anak-anaknya. Berkat kesabaran Nabi Yaakub A.S. ini akhirnya anak-anak mengaku bersalah lalu memohon kepada ayah mereka supaya berdoa agar Allah mengampunkan dosa – dosa mereka.

Tanyalah pada diri sendiri, bolehkah kita sebagai ibu bapa untuk memiliki kesabaran dan tawakal yang hebat sedemikian dalam membesarkan anak – anak? Tepuk dada tanya iman. Jom baca perkongsian yang cukup bermanfaat ini.


Setiap kali aku sampai ke bahagian dialog antara Nabi Yaakub A.S. dan anak – anaknya dalam surah Yusuf, otak aku sering menggambarkan sebuah adegan drama keluarga yang ditayangkan di kaca TV. Bezanya cuma tidak ada wajah yang mengisi karakter – karakter itu dalam kepala aku. Seolah – olah otak ini tahu yang mustahil untuk aku menggambarkan lebih dari apa yang tertulis di dalam kalam suci Allah SWT itu.

Dalam surah Yusuf, Allah SWT menggambarkan kepada kita dinamik perangai anak – anak Nabi Yaakub A.S. bermula dengan anugerah kenabian kepada Nabi Yusuf A.S. dan kedengkian adik – beradiknya yang lain terhadap dia dan Bunyamin. Dengki antara saudara ini bernanah hingga ada di antara mereka yang sanggup mencadangkan agar Nabi Yusuf A.S. dibunuh. Bayangkan bagaimana hebatnya Nabi Yaakub berdepan dengan anak – anak yang pelbagai ragam ini.

Sepanjang konflik keluarga ini berlaku, Nabi Yaakub A.S. digambarkan sebagai seorang ayah yang sangat sabar hinggakan tatkala anak – anak beliau datang memberitahu berita yang Nabi Yusuf A.S. dimakan serigala sambil ditunjukkan bajunya yang berlumuran darah, Nabi Yaakub A.S. hanya menegur sikap menipu mereka dan berkata pada dirinya “Fasobran jamil. Allah tempat memohon pertolongan terhadap apa yang kamu ceritakan.”

Begitu juga tatkala anak – anak Nabi Yaakub A.S. datang memberitahunya bahawa Bunyamin telah ditangkap kerana mencuri, beliau hanya menuturkan dialog yang sama, “Fasobran jamil. Semoga Allah mendatangkan mereka semua kepadaku.”

 

Di sini jelas menunjukkan yang Nabi Yaakub A.S. tidak pernah berdendam atau memarahi anak – anak beliau yang menyebabkan kehilangan dua orang anak kesayangannya bahkan beliau mengambil jalan bersabar dan hanya mengadu kesedihannya kepada Allah SWT walaupun dalam Surah Sad menyebut bahawa Nabi Yaakub A.S. ini memiliki ‘al aidi’ yang digambarkan sebagai kekuatan. Susah tentu, beliau boleh saja menghukum anak – anak beliau dengan kapasiti sebagai bapa dan nabi yang kuat. Namun Maha Suci Allah SWT ingin menonjolkan sisi lain Nabi Yaakub dalam mendidik anak – anak iaitu ‘al absor’ iaitu memiliki pandangan yang tinggi.

Walaupun ada antara anak beliau berkata “Engkau selalu teringatkan Yusuf sehingga engkau dihinggap penyakit atau engkau menjadi termasuk orang – orang yang akan binasa,” bahkan ada juga yang mengatakan bapa mereka itu sudah tidak siuman, Nabi Yaakub tetap berpandangan jauh bahawa Allah SWT yang Maha Mengetahui segalanya akan merungkaikan segala kesedihan yang dialaminya.

IKLAN
Sentiasa Beringat Anak – Anak Ujian Dari Allah SWT Untuk Kita Sentiasa Bersabar.
Gambar: Facebook Dr Hasiba Kamaruddin

Kesan kepada kesabaran dan pandangan jauh Nabi Yaakub A.S. ini boleh kita lihat di akhir kisah ini di mana anak – anak beliau yang berperangai macam – macam itu mengaku bersalah lalu memohon kepada ayah mereka supaya berdoa agar Allah mengampunkan dosa – dosa mereka. Bukan itu sahaja, kesabaran Nabi Yaakub A.S. ini telah meninggalkan legasi kepada Nabi Yusuf A.S. yang juga memaafkan adik – beradiknya yang menzaliminya dulu, “Tidak ada celaan terhadap kamu pada hari ini. Semoga Allah mengampun dosa kamu.”

Memang aku akan menangis setiap kali membaca kisah konflik keluarga Nabi Yaakub A.S. ini dek besarnya jiwa seorang ayah dalam berhadapan dengan anak – anak yang pelbagai ragam. Bolehkah kita sebagai ibu bapa memiliki kesabaran dan tawakal yang hebat sebegitu dalam membesarkan anak – anak?

Sentiasa Beringat Anak – Anak Ujian Dari Allah SWT Untuk Kita Sentiasa Bersabar.

 

Kadang – kadang aku rasa sedih bila mendengar konflik antara ibu bapa dan anak – anak yang mungkin bermula dari hal – hal yang remeh seperti dah lama tak balik kampung, tidak berkenan dengan menantu atau anak melebihkan pasangan dari ibu bapa. Perkara sekecil ini kadang – kadang melarat menjadi pergaduhan besar sehinggakan ibu bapa sanggup memanggil anak sendiri sebagai anak derhaka.

Astaghfirullahal adzim. Kalaulah ibu bapa sendiri memanggil anak yang dikandung dan dibesarkan sebagai anak derhaka, apa lagi yang tinggal pada anak itu untuk menghadapi kehidupan ini.

Aku juga teringat akan sebuah kisah seorang artis yang berhijrah. Tatkala orang bertanya, apa yang menyebabkan dia tergerak hati untuk berhijrah. Katanya, “Mak saya. Setiap kali saya nak keluar menyanyi atau buat benda – benda lagha, mak saya hanya kata, mak selalu doakan kamu semoga kamu menjadi orang yang lebih baik. Saya rasa atas berkat doa mak saya itulah Allah beri saya hidayah dan taufik untuk berhijrah.” MasyaAllah hebatnya mak artis ini.

IKLAN

Kisah – kisah begini sangat meruntun jiwa aku supaya sentiasa beringat yang anak – anak ini adalah ujian dari Allah SWT untuk kita sentiasa bersabar dan akhirnya akur untuk menyerahkan segala urusan mereka kepada Dia Yang Menciptakan. Kadang – kadang kita mungkin sudah habis daya dalam menguruskan anak – anak supaya mereka sentiasa berada dalam kebaikan namun ibrah dalam Al Quran terus menerus mengingatkan kita yang akhirnya semua itu adalah urusan Allah SWT. Kita perlu jalankan saja peranan itu sebagaimana yang diajar olehNya melalui kitab ini.

Semoga Allah SWT sentiasa bersama kita dalam perjalanan keibubapaan ini. Amin.

p/s: Menghargai pandangan para asatizah yang lebih berilmu dari saya dalam memahami kisah Nabi Yaakub ini.

 

 

 

IKLAN

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI