Sinus adalah rongga berisi udara pada tengkorak yang dilapisi oleh membran. Membran ini mengeluarkan sedikit cairan untuk memerangkap kotoran dan memberi kelembapan pada rongga hidung.

Namun, radang sinus adalah keadaan di mana terjadinya jangkitan atau radang pada lapisan membran pada rongga sinus. Ia sering terjadi kepada semua termasuk kanak-kanak. Benar, kanak-kanak juga tidak terkecuali.

Bagi golongan dewasa, gejala seperti selesema, hidung tersumbat dan berair, sakit kepala, rasa sakit di kawasan dahi dan muka (terutama ketika dalam keadaan menunduk) merujuk kepada gangguan sinus yang serius.

Begitupun, semua simptom dan rasa sakit ini mudah disampaikan kepada doktor yang merawat. Berbeza dengan kanak-kanak, gejala sinus hanya boleh dikenal pasti dan disahkan dengan melakukan pemeriksaan terperinci termasuk imbasan sinar-X dan pengimbasan tomografi berkomputer (CT Scan).

GEJALA SINUS

Sinus Dikalangan Kanak-Kanak. Ini Wajib Ibu Bapa Tahu.
Gejala sinus jarang berlaku dalam kalangan kanak-kanak berikutan keadaan rongga yang masih belum terbuka sepenuhnya.
Lazimnya, pembukaan rongga ini akan sempurna ketika usia remaja. Sekalipun ia terbuka, tetapi jika tiada pengumpulan mukus atau nanah di sekitarnya, tidak mengapa.
Keadaan hanya berbeza apabila berlaku jangkitan dan pengumpulan nanah pada rongga sinus. Inilah yang akan membawa kepada radang sinus.
Terdapat beberapa punca berlakunya sinusitis tidak kira dalam kalangan dewasa mahupun kanak-kanak. Antaranya adalah jangkitan sinus atau selesema, alahan, trauma akibat kemalangan, struktur tengkorak yang tidak normal dan perokok pasif.

1. JANGKITAN SINUS
Lazimnya keadaan selesema akan menyebabkan rongga hidung membengkak dan ruang saliran sinus menjadi sempit serta menghalang pengudaraan. Apabila keadaan ini terjadi, mukus dalam rongga sinus tidak dapat dikeluarkan. Akhirnya menjadi perumah untuk pembiakan bakteria hingga menyebabkan keradangan dalam rongga sinus.

2. ALAHAN BUKAN JANGKITAN
Ramai ibu bapa tidak perasan bahawa anak mereka kerap selesema dan bersin disebabkan alahan, bukan jangkitan. Alahan boleh terjadi disebabkan debunga, hama dan lipas. Bahan buangan daripada hama biasanya menjadi punca paling kerap rongga sinus tersumbat.

IKLAN

3. TRAUMA
Tidak kira sama ada pernah terhantuk dengan kuat, kesan kemalangan atau apa saja impak yang mengenai kepala dan menyebabkan kecederaan, ia boleh menyumbang kepada sinusitis.
Keretakan tulang pada bahagian tengkorak ini boleh menyebabkan rongga sinus menjadi sempit. Jika dibiarkan, ia mungkin boleh menutup rongga sinus dan menyebabkan radang yang lebih teruk.

4. STRUKTUR TIDAK NORMAL
Kes sebegini lazimnya berlaku kepada mereka yang dilahirkan dengan kelainan pada struktur wajah. Sebagai contoh, mereka yang mengalami sumbing lelangit.

5. PEROKOK PASIF
Bapa atau ibu yang merokok selalunya membawa risiko tidak sihat kepada anak-anak. Begitu juga dengan orang di sekeliling. Pendedahan terhadap asap rokok boleh menyebabkan terjadinya masalah sinus dalam kalangan kanak-kanak mahupun dewasa. Ini kerana, asap boleh memberi reaksi kepada rongga hidung dan menyebabkan permukaannya bengkak, sekali gus menutup rongga sinus.

Terdapat pelbagai simptom jelas yang menunjukkan kanak-kanak itu menghadapi sinusitis. Antaranya adalah demam, selesema, hidung berair, batuk (disebabkan hingus yang melalui belakang tekak) dan sakit kepala (bahagian dahi dan pipi).
Tetapi, bukan semua kanak-kanak yang mengalami batuk dan demam mengalami sinusitis kerana rongga sinus mereka belum sempurna. Sekurang-kurangnya sehingga mereka berusia lapan tahun.

Rongga sinus yang sempurna merangkumi sinus maxillary, sinus frontal, sinus ethmoidal dan sinus sphenoid. Apa yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak adalah masalah alahan.

IKLAN

Mereka kerap bersin dan selesema. Bagaimanapun, bukan semua kanak-kanak yang mengalami masalah alahan mendapat sinusitis. Umpamanya, rinitis alahan atau kerap disebut masyarakat kita sebagai resdung.

Pentingnya alahan berkenaan dirawat untuk mengelak dari masalah berikut :

Sinus Dikalangan Kanak-Kanak. Ini Wajib Ibu Bapa Tahu.
1. Sekiranya selaput membran di dalam rongga sinus bengkak dan rongga tersumbat, ia akan mengakibatkan pelbagai komplikasi masalah kesihatan dan kuman boleh merebak hingga kepada bahagian mata dan telinga serta bahagian tekak apabila nanah mengalir ke bahagian berkenaan.

2. Apabila kuman merebak ke bahagian telinga, ia akan menyebabkan telinga berdengung dan mengganggu pendengaran. Jika tiada rawatan segera, selain nanah meleleh keluar, nanah yang terkumpul boleh memecahkan gegendang telinga kanak-kanak berkenaan.
Sekiranya jangkitan pada telinga tengah, ia boleh menyebabkan kehilangan pendengaran. Jika ia merebak ke otak yang akan menyebabkan meningitis (jangkitan selaput otak).
Menurut statistik yang dikongsikan kepada umum tahun lalu, resdung dikategorikan sebagai masalah kesihatan global.

Kajian mendapati hampir 14% kanak-kanak sekolah di Kuala Lumpur mengidap asma.

Dalam kalangan penghidap asma ini, hampir 80 peratus dikatakan turut menghidap resdung. Kanak-kanak pula lebih mudah terkena alahan hidung memandangkan sistem imun mereka belum matang berbanding orang dewasa, selain faktor persekitaran, jerebu, demam, batuk dan selesema.

IKLAN

Sinusitis dalam kalangan kanak-kanak masih boleh dirawat berikutan ia disebabkan jangkitan. Doktor biasanya akan membekalkan ubat untuk mengurangkan pengeluaran hingus, sekali gus membantu membuka rongga sinus.

Pada masa sama, perlu untuk rawat punca berlakunya sinusitis. Kalau disebabkan jangkitan, doktor akan beri antibiotik. Kalau alahan, ubat akan diberi untuk mengawal alahan. Jika tidak, radang ini akan berulang.

Satu perkara yang kerap masyarakat terlepas pandang adalah mengenai kepercayaan yang diwarisi turun temurun. Majoriti masyarakat hari ini terlalu mudah membuat kesimpulan berdasarkan perbandingan simptom yang pernah dihadapi sendiri dengan apa yang dialami anak-anak.

Orang kita kalau nampak anak gatal pada muka, berhingus, dia akan kata resdung. Sebenarnya ia lebih kepada alahan. Rinitis boleh diwarisi daripada genetik ibu dan ayah. Sinusitis itu radang yang berlaku akibat jangkitan. Ia tidak diwarisi.

Tetapi kalau alahan, itu boleh diwarisi. Cuma, sebagai ibu bapa, kita kena peka apa yang menjadi punca atau penyebab ia berlaku. Boleh jadi disebabkan persekitaran, makanan, debunga, hama rumah, lipas, bulu kucing dan sebagainya.

Elakkan anak daripada punca alahan supaya tidak melarat hingga berlaku jangkitan sinus. Seeloknya, bawalah berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan dan khidmat nasihat.

Kredit: Dr Zubaidi Hj Ahmad

Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI