Akhirnya semua rakyat Malaysia menadah tangan meluahkan rasa syukur dengan keputusan kerajaan melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi ataupun ‘total lockdown’ Fasa Pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 Jun 2021 hingga 14 Jun 2021.
Berita yang baru diterima sebentar tadi, dimaklumkan bahawa sepanjang tempoh ini, semua sektor tidak dibenarkan untuk beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu (essential economic and service sector) yang akan disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara.
Pengumuman ini juga menyebabkan ramai menarik nafas lega setelah laporan harian kes baharu hari ini mencatatkan peningkatan lagi kepada 8,290 iaitu lepasi angka 8 ribu.
REAKSI WARGANET SELEPAS PENGUMUMAN LOCKDOWN
Dalam pada itu, pelbagai reaksi dapat dilihat di media sosial. Masing-masing meluahkan rasa hati.
Begitu juga dengan perkongsian saudara Harith Faisal yang melahirkan rasa syukur namun turut mengingatkan bahawa ada golongan yang terkesan akibat lockdown yang diadakan nanti.
Luahan itu berbunyi ringkas tetapi penuh emosi sehingga mendapat tanda emoji sedih lebih 7K dan ratusan komen daripada netizen dalam tempoh sejam.
Beberapa tangkap layar (screenshot) komen-komen yang meluahkan rasa syukur dan ada juga turut bersimpati pada golongan yang terkesan.
Ads
Emosi ramai warganet turut sedih dan titipkan doa buat golongan yang terkesan dan berharap ada golongan yang menghulurkan bantuan jika mendapati masyarakat sekeliling menghadapi kesukaran.
Ikuti perkongsian ini. Moga negara dengan Lockdown ini kes jangkitan segera turun dan kita dapat menjalani kehidupan seperti biasa.
TANYA KHABAR JIRAN, BANTU MANA YANG MAMPU
DOA YANG BAIK-BAIK, MOGA COVID-19 JADI ANGKA 0
Ads
SABAR UNTUK SEMENTARA WAKTU
SEMOGA REZEKI LEBIH BAIK SELEPAS INI
Ads
INILAH MASA UNTUK BANTU GOLONGAN YANG KURANG BERKEMAMPUAN
Semoga saat genting macam ni, sama-samalah saling membantu dan bertimbang rasa sesama insan. Semoga lockdown kali ni dapat menurunkan kes dengan cepat.
Rujuk lampiran bagi mendapatkan kenyataan penuh Total Lockdown
Setiap pasangan yang berkahwin pastinya mahu ikatan perkahwinan yang dibina sentiasa bahagia dan berkekalan hingga ke syurga.
Namun dalam setiap perkahwinan pastinya adanya cabaran yang ditempuhi. Susah senang tetap ditempuhi demi keluarga.
Sebagaimana perkongsian wanita ini yang pernah melalui detik sukar dalam rumahtangganya bersama suami dan anak-anak.
Juga kuasa doa dan sedekah itu adalah anugerah memberi kekuatan untuk terus berjuang demi keluarga.
Malah, para netizen yang mengikuti kisahnya turut meluahkan rasa sebak mengikuti coretannya itu.
Seterusnya ikuti perkongsiannya.
Ini kisah tahun 2020. Saya tak akan lupakan momen itu. Petang tu, Syahindah datang dan ingatkan saya untuk ke sekian kali, “Mama, nanti abah dapat gaji kita beli kasut roda tau!” Yes! Masa tu memang dah niat nak tunaikan hajatnya yang satu ini. “Beres. Esok gaji abah masuk. Nanti mama order kat Shopee!” Tak sabar nak shopping kat Shopee!
Esoknya, pagi-pagi lagi saya dah semak akaun bank suami. Kebiasaannya begitulah. Saya yang akan menguruskan segala urusan belanjawan rumah. Menyelesaikan komitmen bulanan.
Mengasingkan perbelanjaan untuk keperluan rumah, anak-anak dan sebagainya. Tapi, pagi itu hati saya berdebar-debar. Saya lihat nilai baki dalam akaun langsung tak ada perubahan. Sama saja nilainya macam semalam.
Gaji Suami tak masuk
Saya tanya suami, “Abang, gaji selalu masuk pukul berapa? Pagi kan?” Namun, sehingga ke petang nilainya masih sama. Saya mula cuak. “Abang, gaji kena tahan lagi ke?” Saya pandang dia. Dia pandang saya. Tak ada siapa mampu menjawab.
Akhirnya, persoalan terjawab. Sejarah lama berulang kembali. Gaji suami ditahan lagi. Kali pertama berlaku lebih kurang enam bulan sebelumnya, pada tahun yang sama. Kedua-dua tanpa notis!
Hidup seadanya
Maka begitulah, keputusan drastik terpaksa diambil. Lupakan tentang kasut roda, lupakan tentang segala hajat yang lain. Bulan itu, kami teruskan hidup dengan apa yang ada. Jika sebelumnya gaji ditahan selama tiga bulan berturut-turut, kali ini entah sampai bila …
Satu malam tu, sementara tunggu Maghrib, saya basuh pinggan. Masa nak bilas, saya buka paip. Guess what! Tak ada setitik pun air yang menitis! Terus saya teringat sesuatu
Laju saya pergi cari bil air yang saya terima beberapa hari lepas. Bil amaran supaya kami selesaikan tunggakan dalam tempoh 14 hari. Congak-congak … memang dah lebih tempoh yang diberikan. Maka, memang sah air dah kena potong!
Beberapa bulan sebelumnya memang bil air kami melambung tinggi. Jumlahnya beratus-ratus setiap bulan yang kebiasaannya tak pernah pun cecah seratus. Puncanya masalah paip bocor yang kami tak sedar sehingga berbulan-bulan. Syukur masa tu kami dah sedar dan panggil orang datang baiki.
Memang dah rancang gaji bulan itu nak guna untuk setelkan semua bayaran tertunggak, tapi siapa sangka … tak sempat. Ternyata Allah dah ada perancangan lain yang lebih baik untuk kami.
Ketika saya beritahu suami air dah kena potong, berkali-kali dia minta kepastian. Ya, saya faham. Di saat-saat begitu, itu bukanlah khabar yang diharapkan. Apabila saya mengesahkannya, ketika itulah saya melihat kelopak matanya mula bergenang. Sayunya hati saat melihat air matanya menitis tanpa henti. Saya tahu dia rasa bersalah dan tertekan.
Sungguh, gaji ditahan lagi untuk kali kedua adalah sesuatu yang tak dijangka pun, tapi entah kekuatan apa yang Allah berikan ketika itu sehinggakan saya rasa tenang-tenang sahaja. Saya tak ada fikir yang bukan-bukan sepertimana ketika pengalaman yang pertama.
Doa mohon petunjuk
Selesai solat Maghrib, segala yang berlegar-legar dalam fikiran saya sejak tadi laju meluncur keluar melalui doa ini, yang saya ingat sampai sekarang.
“Ya Allah, aku selalu berniat untuk jadi kaya supaya aku dapat bersedekah sebanyak-banyaknya. Aku selalu cemburu kepada mereka yang ada banyak duit dan boleh bersedekah sebanyak mana yang mereka mahu.
Jika ini cara yang engkau pilihkan untuk aku bersedekah dalam jumlah yang banyak, maka aku halalkan segala hak kami yang ada di situ. Aku sedekahkan semuanya kerana-Mu. Semoga Engkau gantikan kami dengan yang lebih baik. Sesungguhnya Engkau Yang Maha Kaya.”
Ketika itu, air mata turun mencurah-curah tak dapat saya tahan. Bukan sedih sebab duit dah tak ada, tapi ketika itulah Allah hadirkan satu perasaan yang sukarnya saya nak gambarkan. Rasa tenang. Rasa puas. Rasa lega.
Terasa bagaikan terangkat satu beban yang maha berat di bahu. Tak ada walau sekelumit pun rasa marah pada sesiapa. Tak ada langsung rasa risau dengan nasib kami yang entah bagaimana selepas tu.
Dan sesuatu yang pasti, itulah momen yang saya rasa paling kaya sepanjang hidup! Dan ternyata bantuan Allah itu sangat pantas melalui insan sekeliling. Masalah tunggakan bil air berjaya dilunaskan pada malam itu juga. Keesokannya, kami sekeluarga kembali berpeluang mendapat nikmat air.
Bulan itu kami melalui hari-hari yang tawar, namun tenang. Hidup perlu diteruskan. Beberapa komitmen bulanan menunggu untuk dilangsaikan. Hidup berbekalkan saki-baki wang ehsan adik-beradik yang semakin susut.
Kami berjimat sehabis mungkin. Yang mana perlu dahulukan, didahulukan. Yang belum mendesak, letak ke tepi dahulu.
Niat sedekah walaupun tengah susah
Suatu petang, saya skrol FB. Tiba-tiba melintas satu berita tentang kematian mengejut suami seseorang. Melihat nama si isteri yang di-‘tagged’, saya sebak! Saya kenal dia! Kami bukan kenal rapat pun. Hanya sesekali berurusan berkaitan buku atau berbalas komen di status saya.
Tapi entah kenapa, saya amat terkesan dengan berita itu. Fikiran saya asyik teringat-ingat nombor akaun yang disertakan pada status tu. Saya dah tak boleh nak tumpu benda lain. Bagaikan ada satu perasaan yang mendesak-desak untuk saya berikan juga sumbangan. Tapi, macamana? Saya tak ada duit! Hakikat yang buatkan saya terus resah. Dan ofkos, sedih.
Ligat saya fikir jika ada duit saya yang tersesat di mana-mana. Dan ketika itulah terlintas wajah Faizah Ahmad. Saya mesej dia.
“Cik Pae, saya nak kongsi berita sedih. Ada seorang customer saya, hari ni saya dapat tahu suaminya meninggal. Dia ada anak lima yang masih kecil. Saya teringin nak bagi sumbangan, tapi sekarang ni saya tak ada duit. Boleh tak cik Pae gunakan duit komisen dropship saya tu untuk bagi pada dia.”
“Sekejap ya, saya cek. Setakat ni komisen kak long RM120. Kak long nak saya bagi untuk dia berapa banyak?”
“Semua!”
Semua? Ya, semua. Gerak hati saya mahukan begitu. Hakikatnya masa tu, hanya itulah sumber duit yang saya masih ada untuk menampung apa yang tidak cukup.
Dalam keadaan begitu, jumlah itu sangat besar nilainya. Tapi itulah keputusan yang tak sedikit pun saya kesal malah saya berasa lega selega-leganya.
Keputusan yang berlandaskan kepada gerak hati dan keyakinan bahawa Allah bukan saja-saja membiarkan berita sahabat saya itu melintas di wall FB saya.
Keputusan yang sekaligus meletakkan diri pada kedudukan ‘tidak punya apa-apa’. Keputusan yang juga bermakna duit yang ada dalam akaun akan kekal RM6.90 sahaja. Fikiran saya ketika itu hanya mahu berniaga dengan Allah. Hanya itu.
Rezeki datang mencurah
Dan sesungguhnya, janji Allah itu benar. Allah tak tunggu lama untuk tunjukkan keajaiban-Nya.
Keesokan pagi, saya menerima panggilan daripada seseorang, minta nombor akaun. Sebak saya sebaik melihat nilai dalam akaun yang tiba-tiba bertambah RM 2 ribu. Ya Allah, cepatnya Allah ganti!
Petang pula, kami didatangi tetamu yang datang mengejut. Bergegas saya naik ke atas, pakai tudung dan apabila saya turun, dia beritahu ada bawakan makanan sikit.
Saya ke dapur dan terkedu. Saya fikir sekadar makanan untuk minum petang yang boleh saya hidangkan, rupa-rupanya penuh bekalan barang dapur untuk kami sekeluarga. Ayam, ikan, telur, minyak, beras, sos dan segala bahan basah untuk memasak. Ya Allah, baiknya Allah! Dicukupkan keperluan kami melalui mereka. Sebak!
Saya minta diri buatkan air. Ketika itu, saya kembali gelisah. Hanya ada air. Nak jamu apa? Keropok keping yang mak mertua bawakan beberapa hari lepas baru sahaja habis anak-anak goreng pagi tadi.
Saya buka kabinet, dengan harapan biskut kering gula yang suami beli hari tu masih ada. Dah habis juga! Allahu ….
Ketika itulah terdengar bunyi hon di luar rumah. Poslaju hantarkan satu kotak besar. Ya, memang saya tahu abang ipar ada cakap nak kirimkan serunding. Tapi tidaklah saya jangkakan sebesar itu kotaknya.
Di dalamnya ada tepung, biskut, kopi, teh, susu, ikan bilis dan segala jenis barang kering yang penuh satu kotak. Juga beberapa jenis keropok kering yang boleh digoreng. Dapatlah kami menjamu tetamu.
Ya Allah macam tak percaya! Hari itu, subhanallah, lengkap stok makanan di dapur kami, barang basah dan barang kering yang sangat cukup untuk keperluan seminggu dua. Juga duit untuk membayar segala komitmen yang lain.
Cepatnya Allah ganti! Semuanya kami tak cari pun, tapi Allah yang hantar. Indahnya cara Allah cukupkan keperluan kami melalui mereka ini.
Betapa cantiknya Allah susun sehinggakan tak sempat pun nak susah hati dengan baki duit yang hanya tinggal RM6.90 semalam.
Selesai mengiringi mereka pulang, saya ternampak ada surat dalam peti pos. Saya ambil dan baca. Hilang senyuman yang baru mekar tadi sebaik melihat surat lawyer yang minta menjelaskan bayaran tunggakan kereta. Allah … .
Ketika itu, saya tidak terfikir yang lain kecuali untuk cuba memohon lanjutan tempoh moratorium yang ditawarkan ketika itu.
Dua hari kemudian, “Kak long, saya masukkan 5 ribu. Bayar duit tunggakan kereta dan selebihnya buat belanja anak-anak ya.” Subhanallah!
Diam tak diam, tiga bulan kami hidup tanpa pendapatan, menjalani hari-hari esok yang tak pasti, namun ajaibnya dalam tempoh itu sedikit pun kami tidak berasa kekurangan. Betapa satu nikmat yang paling besar bagi saya adalah dikelilingi oleh sangat ramai orang yang baik-baik, yang tak pernah lokek menawarkan bantuan.
Buat sahabat yang pernah bertanyakan saya, “Kenapa tak beritahu sedang susah?” Saya tahu dia rasa bersalah. Maka, inilah jawapannya.
Kerana Allah terlebih dahulu mencukupkan keperluan kami tanpa saya sempat pun meminta-minta. Allah hantarkan hamba-hamba-Nya yang terpilih untuk menolong kami dengan cara yang begitu indah dan tersusun sekali. Segalanya tepat pada masa yang kami perlukan.
Betapa Allah lebih tahu bila dan apa yang kami perlu. Sepanjang tempoh itu memang saya banyak menangis. Bukan menangis sebab kesedihan, tapi menangis kerana mengenangkan keindahan dan kasih sayang Allah.
Jika mahu dihitung nikmat yang kami dapat dengan ujian yang kami terima, sangat jauh bezanya. Nikmatnya terlalu banyak sehinggakan tak terasa pun pahitnya ujian itu. Betapa baiknya Allah sehingga saya jadi malu hendak mengeluh dengan ujian yang sedikit itu.
Sungguh, pengalaman ini mengajar saya tentang banyak perkara. Paling penting, Allah first! Apa pun yang berlaku cari Allah dahulu. Jangan mulakan dengan mencari-cari salah orang kerana makin dicari salah orang, makin kita sukar untuk tenang.
Fokus kepada apa yang kita boleh kawal. Kita jadi resah bila kita sibuk nak membetulkan perkara yang kita tak boleh kawal. Redha dan tawakal. Buat kerja kita dan selebihnya serah kepada Allah.
Faham dan sematkan betul-betul dalam hati bahawa hidup ini adalah medan ujian. Bila kita faham tentang hakikat itu, kita akan fokus cari jalan untuk lulus ujian. Bukan memprotes. Ya, mungkin Allah datangkan ujian yang sama untuk kali kedua kerana saya masih belum lulus pada ujian pertama.
Ujian tanda Allah sayang. So, please …. embrace the moment! Kadang, dalam keadaan kekalutan kita jadi terlupa betapa ini adalah momen istimewa yang sepatutnya kita raikan. Momen untuk kita bermanja-manja dengan Dia.
Jika kita bersungguh menikmati momen itu, maka kita akan dapat rasakan betapa indahnya hidup ber-Tuhan, betapa dekatnya Dia dengan kita dan betapa manisnya ujian itu.
Pengalaman itu juga buatkan doa saya kini berubah. Saya tidak lagi minta Allah bagi saya kaya supaya saya dapat bersedekah. Tapi saya minta Allah bagi saya RASA kaya supaya saya sentiasa mampu bersedekah walaupun dalam apa juga keadaan.
Apabila mempunyai anak kembar, tentu risau mengenai kerenah yang berganda. Kembar seiras dan tidak, pastinya mempunyai personaliti yang berbeza. Namun sebagai ibu bapa, kita harus tahu cara yang betul untuk mendidik anak kembar termasuk secara psikologi.
Menurut Profesor Madya Dr Azizah, Pakar Psikologi Klinikal, Jabatan Pediatrik, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), ibu bapa harus mempunyai kemahiran mengendalikan anak, terutama anak kembar adalah sangat penting, bagi menjamin kesejahteraan mental, emosi, dan fizikal semua ahli keluarga, dan perkembangan psikologi yang sihat untuk si kembar khasnya.
6 Soalan popular mengenai tingkah laku si kembar
Tiada kajian saintifik yang membuktikan kembar seiras terutamanya, lebih kerap bergaduh berbanding anak-anak lain.
Sebaliknya kanak-kanak, kembar atau tidak, bergaduh untuk meluahkan perasaan yang tidak enak melalui reaksi fizikal/tingkahlaku atau verbal. Contohnya anak yang rasa tercabar, tidak puas hati, teraniaya, atau tidak diadili saksama boleh bergaduh.
Bagaimanapun, kembar terdorong membina lebih banyak ‘perbezaan’ dan ‘kelainan’ sesama sendiri apabila mereka sampai ke tahap mencari identiti sendiri.
Disini, mereka mungkin kelihatan seperti sering ‘bergaduh’ atau ‘tidak bersetuju’. Selagi proses ini berjalan secara sihat, tiada apa yang perlu dirisaukan.
Cemburu juga adalah emosi normal yang boleh dialami anak kembar atau sesiapa sahaja. Cuma anak kembar adalah dua individu ‘serupa’ yang sentiasa bersama, justeru cemburu lebih mudah dan kerap terjadi.
Seperti bergaduh, cemburu juga adalah refleksi emosi yang tidak enak yang dirasai oleh sianak, diterjemah pula melalui emosi yang lebih tinggi tahapnya iaitu cemburu. Contohnya, apabila anak berasa tidak puas hati pasangan kembarnya mendapat baju merah sedangkan dirinya mendapat warna biru, perasaan cemburu boleh timbul.
Anak yang berumur dua hingga tujuh tahun contohnya, berfikir secara pre-operasi dan bergantung banyak kepada simbol.
Selagi anak kembar tidak faham baju merah sama sifatnya dengan baju biru atau belum mampu menterjemah konsep berkongsi, jalan penyelesaiannya haruslah dibelikan barang yang serupa untuk kembarnya untuk memupuk rasa diadili. Bagaimanapun, jika tidak mampu membeli dua, tidaklah perlu membeli langsung pada peringkat sebegini.
3.Saling bergantungan antara satu sama lain. Betul atau tidak?
Tidak, anak kembar, sama seperti anak yang lain jika diberi peluang dan didikan yang baik, boleh berdikari dan tidak sentiasa bergantung antara satu sama lain. Anak kembar mempunyai personaliti, sifat dan tingkahlaku yang berbeza serta mempunyai pendapat dan keinginan yang berbeza dalam melakukan sesuatu aktiviti. Bukan itu sahaja, tahap perkembangan kembar juga boleh berbeza dengan pasangannya.
4.Dikatakan tidak boleh berpisah, adakah betul?
Tidak benar. Sesiapa sahaja berpotensi untuk menghadapi perubahan dalam hidup, termasuklah pasangan kembar berpisah tempat tinggal atau sebagainya. Banyak kajian melibatkan pasangan kembar yang berpisah dan dididik secara berasingan. Kajian Koch (1966) contohnya mendapati kembar yang dipisahkan lebih cemerlang pencapaian IQ dan lebih fasih pertuturannya daripada kembar tinggal bersama.
5.Kakak atau abang lebih hebat daripada adik. Benarkah?
Tidak benar. Setiap individu, kembar atau tidak, mempunyai tahap kecerdasan dan perkembangan mereka tersendiri. Selain faktor genetik, pencapaian pembelajaran anak bergantung kepada banyak faktor persekitaran terutama didikan, pengajaran dan pembelajaran, motivasi, dan sebagainya.
Kurang tepat. Secara umum, kelakuan seperti manja dipengaruhi faktor natural, sedia ada, atau biologi seseorang. Bukannya aturan dalam adik-beradik. Bagaimanapun, sifat manja ini akan kekal atau menebal bila faktor luaran mengukuhkannya. Contohnya adik bongsu sering dimanjakan oleh semua ahli keluarga, justeru sifat ini berterusan dalam diri individu tersebut. Sebaliknya jika sifat sedia ada tidak dipupuk oleh faktor luaran, secara tabii individu akan membina sifat yang lain atau baharu untuk kelansungan kehidupan mereka.
Tindakan ibu bapa
Merujuk kepada tingkah laku berikut, terdapat beberapa cara yang ibu bapa harus lakukan untuk membentuk personaliti yang lebih positif kepada kembar ini.
1.Ibu bapa perlu pastikan mempunyai kesihatan mental mereka sendiri ditahap optimum dan bertindak mencari jalan penyelesaian jika sebaliknya berlaku.
2.Ibu dan bapa sentiasa tambah ilmu perkembangan dan psikologi kanak-kanak dan gunapakai ilmu dan kaedah yang disokong dapatan kajian saintifik adalah bermanfaat.
3.Ibu dan bapa perlu menjadi model dan menunjukkan tingkahlaku, emosi, dan fikiran yang baik sebagaimana mahu diterap dalam diri anak kembar.
5.Cipta masa eksklusif atau berseorangan dengan setiap pasangan kembar untuk memupuk rasa ‘saya berharga secara individu kepada ibu dan bapa saya’ dalam diri anak.
6.Cipta masa bersama dengan semua ahli keluarga secara konsisten, contohnya makan malam bersama.
7.Bermain bersama anak kembar, atau perhati anak bermain dan terapkan nilai-nilai peribadi dan tingkahlaku yang baik semasa anak bermain.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Noryn Aziz berkongsi rahsia gaya hidup sihat apabila berjaya meninggalkan makanan segera selama bertahun-tahun, mengurangkan pengambilan nasi dan mengamalkan kawalan kalori setiap hari.