Semalam tular seorang kanak-kanak lelaki berusia 3 tahun terpaksa menahan kesakitan hampir sejam setelah kaki kanannya tersepit dalam eskalator di sebuah pusat beli belah.
Ketika kejadian kira-kira 1.30 tengah hari itu, kanak-kanak itu dikatakan sedang turun bersama ibu bapanya menggunakan eskalator dari tingkat dua sebelum kaki kanannya secara tiba-tiba masuk dan tersepit di bahagian tepi eskalator berkenaan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 1.48 tengah hari.
“Kaki mangsa berjaya dikeluarkan kira-kira setengah jam kemudian dan mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Seorang saksi ingin dikenali sebagai Nurul berkata dia terdengar jeritan yang amat kuat sebelum melihat seorang kanak-kanak tersepit di eskalator itu.
“Keadaan memang panik, nasib baik ada yang segera menekan butang kecemasan bagi menghentikan eskalator itu. Kanak-kanak itu menangis hampir satu jam sebelum pihak bomba datang mengeluarkan kakinya yang tersepit,” katanya.
IKLAN
8 Langkah Keselamatan Semasa Menaiki Eskalator
Ketahui lapan langkah keselamatan yang boleh dipraktikkan sama ada kepada diri sendiri mahupun anak-anak kecil.
Awasi kanak-kanak setiap kali menaiki eskalator. Jangan benarkan mereka duduk, bermain atau bersandar pada selusur tangga bergerak.
Sentiasa kekalkan jarak di antara kasut atau selipar dengan bahagian tangga yang sedang bergerak. Elakkan berdiri terlalu dekat dengan bahagian tepi eskalator.
Setiap kali melangkah, perhatikan pakaian yang bertali atau labuh agar tidak terperangkap di antara alur eskalator.
Pandang ke hadapan dan pegang kuat pemegang tepi eskalator. Larang kanak-kanak daripada memegang susur tangan kerana pergerakkannya yang laju boleh mengejutkan mereka.
Mendukung kanak-kanak kecil adalah lebih baik daripada menyuruh mereka menaiki sendiri eskalator.
Gunakan lif sekiranya membawa kereta sorong bayi, kerusi roda, skuter elektrik, bagasi dan lain-lain kerana kemalangan boleh berlaku sekiranya menggunakan eskalator.
Semasa melangkah meninggalkan eskalator, jangan teragak-agak lantaran kelewatan boleh menyebabkan kesesakan kepada pengguna lain di belakang.
Berdiri di sebelah kiri dan beri ruang kepada pengguna yang sedang bergegas berjalan di sebelah kanan.
Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengadakan sambutan ulang tahun kelahiran puteri sulung baginda iaitu Tunku Khalsom Aminah Sofiah. Alahai dah besar, makin manis rupanya. Sekali tengok saling tak tumpah macam bondanya.
Majlis tersebut dikongsikan menerusi Facebook baginda. Dalam perkongsian tersebut, Tunku Ismail menzahirkan rasa kasih sayang dan mendoakan anakanda baginda yang mesra dipanggil Lili agar sentiasa diberkati Allah SWT.
“Happy birthday to my beloved daughter, Khalsom. Semoga Allah sentiasa memberkati Lili always. Babah and mama love you very-very much,” kata Tunku Ismail.
Turut dimuat naik dalam perkongsian tersebut beberapa keping foto baginda sekeluarga selain terdapat sebiji kek untuk Tunku Khalsom yang mencecah usia lima tahun.
Sementara itu, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam turut menitipkan ucapan buat puteri kesayangan mereka menerusi laman instagramnya.
“Happy birthday to my 1st born. One day you will be able to read this message Lili and I want you to know that mama love you very much. Since the day you were born, you have been such a great delight,” katanya.
Baginda dan isteri yang berkahwin pada 2014 turut dikurniakan dua orang putera, Tunku Iskandar Abdul Jalil Abu Bakar Ibrahim dan Tunku Abu Bakar Ibrahim serta puteri bongsu, Tunku Zahrah Zarith Aziyah.
Kepada yang suka makan telur, inilah cara menyimpan telur yang disarankan oleh doktor. Cara yang ditunjukkan oleh doktor ini menjelaskan kenapa telur tidak boleh dibasuh dan sebaliknya.
Informasi yang dinyatakan oleh doktor ni di laman facebooknya sungguh bermanfaat Kamarul Ariffin Nor Sadan.
…………………………………………………………
“Doktor, betul ke kalau nak telur tak cepat rosak, jangan cuci telur tu?”
Macam-macam pendapat, ada yang kata basuh dulu sebelum simpan sebab nak elak pencemaran dari tahi ayam. Ada pula yang kata jangan basuh dulu sebab nanti telur cepat rosak.
Mana yang betul? Jom lihat penjelasan pada kedua-dua pendapat ini.
ℹ️JANGAN BASUH SEBELUM SIMPAN
Kalau kalian nak tahu, semasa proses bertelur ayam keluarkan sejenis cecair dikenali sebagai egg bloom atau cuticle.
Ianya umpama protective layer yang melitupi liang-liang di seluruh permukaan telur untuk elak kemasukan kuman ke dalam telur selain bantu kekal kelembapan dengan cara mencegah air dari meruap keluar dari kulit telur.
Jika basuh sebelum disimpan protective layer ni akan menipis / hilang. Inilah asas kepada pendapat yang tak galakkan telur dibasuh sebelum disimpan.
Tapi… kalau ada najis pada kulit telur, takkan nak simpan terus? Kotor dan berkuman, kan?
ℹ️BASUH SEBELUM SIMPAN
Najis dan kulit telur boleh tercemar dengan kuman seperti Salmonella, dan ia boleh berpindah kepada makanan lain yang disimpan dalam peti sejuk.
Walaupun peti sejuk berada suhu yang rendah (4°C ke bawah) yakni bebas dari zon suhu bahaya (5°C-63°C), kita tetap perlu beringat!
Pada suhu itu, kuman tidak mati. Mereka hanya dorman(kurang aktif). Maka, kerosakan pada telur boleh berlaku walaupun pada kadar yang rendah.
Jadi perlu basuh buang najis pada kulit telur agar bersih dan tiada kontaminasi silang. Kalau simpan diluar pula, telur lagi akan cepat rosak.
⚠️AMALAN MANA YANG BETUL?
Tak usah gaduh-gaduh. Dua-dua betul dan boleh diamalkan. Kita ambil sikap diplomatik dan dasar terbuka. Kahkahkah macam politik pulak!
Kalau ada tahi yang jelas kelihatan, basuhlah telur-telur yang tercemar itu terlebih dahulu. Kita pun tak mahu peti sejuk kita dicemari kuman.
Tak perlulah sental kuat-kuat kulit telur tu sampai hilang semua protective layer-nya. Sekadar hilangkan najis. Kemudian simpan dalam bekas bertutup.
Bila nak memasak nanti, beri keutamaan pada telur yang telah dibasuh dahulu kerana ia lebih berpotensi dimasuki kuman dan rosak.
Telur yang tidak dibasuh sebelum simpan, hendaklah dibasuh sebelum digunakan. Nak sental sampai berkilat pun tak apa, asalkan tak guna wax kereta suami kalian. Hehe.
✅ Oh ya! Pastikan masak telur dengan sempurna untuk elakkan keracunan.
Semoga bermanfaat!
Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan
#BKKMnakpesan #BKKMHQ
Saban hari ada sahaja kisah baik individu mahupun syarikat yang mengalami masalah kewangan yang meruncing. Sehinggakan terpaksa memohon bantuan orang ramai dek kerana tidak mampu lagi untuk berusaha sendiri.
Bukan hanya orang biasa, malah situasi ini turut dialami oleh selebriti dalam bidang seni. Anggota kumpulan Caliph Buskers, Fendy Adlun, 30, berkongsi derita ketidakmampuan membayar sewa rumah yang mahal, sehinggakan bertindak menjual set drum miliknya demi mendapatkan wang.
Duit simpanan semakin menyusut sejak lebih setahun lalu kerana tiada undangan persembahan akibat pandemik COVID-19 membuatkan dia mati kutu untuk mencari wang bagi menampung kehidupan mereka sekeluarga. Apa yang menambah deritanya apabila sewa rumah yang tinggi perlu dilunaskan setiap bulan.
Justeru, bapa tunggal yang juga golongan Orang Kurang Upaya (OKU) kepada Nurazalea Zafirah, 6, ini memuat naik video memohon perhatian pihak kerajaan untuk memudahkan dirinya mendapat kelulusan rumah mampu milik atau Projek Perumahan Rakyat (PPR) di akaun media sosial miliknya.
“Saya memuat naik video berkenaan kerana berharap pihak kerajaan dan kementerian tertentu boleh memudahkan urusan saya meluluskann permohonan rumah sama ada secara menyewa atau sewa beli.
Menurut Fendy lagi, dia saat ini masih cukup makan pakai. Malah saban hari, rezeki makanan tetap datang tanpa diduga.
“Saya belum tergerak untuk mengibarkan bendera putih kerana masih berdaya. Yang saya benar khuatirkan ialah soal rumah.
“Duit simpanan yang ada pun semakin terhakis. Sejak pandemik menjelma, memang bab undangan persembahan terputus. Kali terakhir buat show dengan Caliph Buskers pada November 2019
“Bulan Disember 2019, pandemik sudah menyerang dunia. Sekitar bulan Februari 2020, sempat jugalah rasa buat ‘show’ masa pandemik.
“Ikut kiraan duit simpanan, saya boleh bayar duit sewa rumah yang didiami di Sentul ini untuk bulan depan saja. Selepas itu saya tak tahu bagaimana nak bayangkan apa akan terjadi,” katanya.
Tambah Fendy lagi, dia kini menyewa di apartmen di Sentul itu dengan sewa bulanan RM1300.
Bekas isterinya turut menyewa di lokasi dan blok sama namun di tingkat berbeza. Mereka masing masing bergilir menjaga anak.
“Sebelum ini saya menyewa dengan kawan di Bangsar, manakala bekas isteri pula di Brickfields. Anak kami pula ketika itu harus berulang alik ke sekolah pendidikan golongan istimewa GENIUS Kurnia di Sentul.
“Selepas mempertimbangkan banyak perkara termasuk kos harian, saya dan bekas isteri sepakat berpindah ke Sentul. Ini semua bagi memudahkan urusan persekolahan anak terutama lokasi lebih dekat.
“Namun saban hari, saya mula memikirkan banyak pertimbangan kalau terus menyewa di Sentul. Itulah sebab saya berharap dapat diperkenankan permohonan rumah PPR atau mampu milik,” katanya.
Demi meneruskan survival hidupnya juga, Fendy turut menjual dua set dram selain perkakasan alat muzik berkenaan.
“Hasil jualan dua set dram itu saya berjaya dapat dalam RM3,000 lebih. Adalah serba sedikit pulangan.
“Macam saya cakap bab makan itu tak ada masalah. Saya pun makan serba sederhana. Mee segera pun saya boleh layan berhari hari. Cuma kalau giliran anak ada di rumah, dia nak makan itu ini. Terutama makanan kegemarannya, roti canai. Jadi terpaksa ‘order’ menerusi aplikasi penghantaran makanan.
“Saya pun enggan berpeluk tubuh dan meminta minta. Jadi saya manfaatkan bakat muzik yang ada. Kalau celik mata, saya boleh buat pelbagai kerja demi meneruskan kelangsungan di era pandemik ini. Tapi apakan daya, saya OKU,” katanya.
Sejak empat minggu lalu juga dia mula mengambil inisiatif buat persembahan langsung di Facebook menerusi halaman Fendy Caliph Buskers setiap Sabtu 9 malam
“Saya sertakan juga nombor akaun bank untuk mereka yang mahu menyumbang ketika menonton persembahan saya. Masa awal buat adalah serba sedikit rezeki boleh diraih.
“Tapi sejak deman bola EURO 2021 mula datang, ‘slow’ sikit sambutan sebab ramai tengok perlawanan bola sepak,” katanya.
Tindakan itu akhirnya menarik perhatian beberapa pihak kementerian termasuk Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun yang menyantuni Fendy dan anaknya pagi tadi di kediaman mereka di Sentul.
“Tak sangka Datuk Seri Rina Harun, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Timbalan Menteri Belia dan Sukan) serta wakil dari Tan Sri Annuar Musa (Menteri Wilayah Persekutuan) sudi menjenguk saya di kediaman.
“Mereka datang ada memberi sumbangan makanan serta wang ringgit dan turut memberi jaminan untuk memudahkan permohonan saya mendapatkan rumah.
“Ikutkan saya pernah memohon untuk mendapatkan rumah sekitar tahun 2017. Namun ia berlalu sepi begitu saja,” kata Fendy ketika ditemui di rumahnya.
Sementara itu, Rina Harun juga berharap DBKL dapat mempermudahkan proses permohonan rumah yang diidamkan Fendy.
Ketika menyantuni Fendy, beliau turut menyerahkan bantuan Bakul Makanan, pek Ready to Eat selain menyerahkan sumbangan tunai oleh Yayasan Kebajikan Negara dan Tabung Bantuan Segera (TBS) di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat
“Insya-Allah saya harap urusannya untuk mendapatkan rumah PPR atau mampu milik dapat disegerakan pihak DBKL
“Malah saya juga ada menghubungi Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah untuk membantu Fendy dalam mendapatkan dana membuat Hiburan Dari Rumah.
“Malah Fendy turut menerima elaun RM500 untuk tiga bulan. Elaun itu di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diberikan kepada golongan OKU yang telah kehilangan pekerjaaan, ketiadaan kerja, dibayar separuh gaji atau diarahkan bercuti tanpa dibayar gaji,” katanya.
Bagi yang ingin menghulurkan sumbangan buat Fendy, bolehlah berbuat demikian di 7636586540 CIMB
Kanom Piak Poon atau Puding Pandan Thai ini antara sajian pencuci mulut yang sangat terkenal di negara Thailand. Memang sedap. Simple sangat, rasa lemak manis kuah santan dan puding, lembut, cair dalam mulut!