Haji adalah rukun ke-5 yang wajib dilaksanakan bagi umat Islam seperti yang tertakluk dalam Rukun Islam. Setiap orang mengimpikan untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah bila tiba masanya nanti, insyaAllah.

Lebih-lebih lagi bagi yang mempunyai simpanan yang mencukupi untuk ke sana, semestinya tidak sabar mengerjakan ibadah yang sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup mereka bagi yang berkemampuan dan larat mengerjakannya.

Tapi, boleh ke kita kerjakan haji ketika kita masih mempunyai hutang lagi. Nak tahu, jom lihat perkongsian dari Ustaz Azhar Idrus

HAJI DULU ATAU BAYAR HUTANG DULU?

SOALAN :

Jika seorang yang ada berhutang dengan seseorang adakah patut dia bayar hutang dahulu atau mengerjakan haji kerana wang simpanan untuk hajinya telah cukup?

JAWAPAN :

Orang yang ada berhutang dengan seseorang dan belum dapat membayarnya maka dia dikira sebagai belum ada kemampuan mengerjakan haji.

Jika dia tunaikan juga haji dengan niat untuk membayar hutangnya selepas pulang dari haji maka hajinya itu sah akan tetapi yang afdhal ialah dia membayar hutangnya terlebih dulu kemudian baru mengerjakan haji.

Berkata Imam Nawawi :

ويشترط في الزاد ما يكفيه لذهابه ورجوعه فاضلا… عن قضاء دين يكون عليه حالا كان أو مؤجلا

Artinya : “Dan disyaratkan pada bekal yang cukup bagi seorang itu untuk pergi ke Mekah dan pulang darinya ialah mempunyai harta yang lebih termasuk membayar hutang dengan segera atau bayaran dengan ditangguhkan.” (Kitab Al-Iidhah fi Manasik Al-Haj)

IKLAN

Berkata Syeikh Ibnu Hajar :

أن الدين محض حق آدمي أو له فيه شائبة قوية فاحتيط له لأن الاعتناء به أهم فقدم على الحج وإن تضيق

Artinya : “Sungguhnya hutang itu adalah hak murni manusia yang ada padanya satu tanggung jawab yang berat yang hendaklah bercermat padanya kerana membayar hutang adalah tersangat penting maka didahulukan bayar hutang atas kerja haji jika keadaan tersepit.”( Hasyiah Ibni Hajar ‘ala Iidhah)

Tidak dinafikan haji adalah ibadah yang besar di dalam Islam akan tetapi kerjakanlah dalam keadaan yang afdhal dan terbaik.

Selesaikan hutang yang dijanjikan terlebih dahulu kerana apabila janji sudah ditunaikan hati akan lebih tenang melakukan ibadah.

IKLAN

KESIMPULAN

Hutang wajib dibayar apabila sampai masa yang dijanjikan membayarnya yaitu masa yang dipersetujui oleh kedua belah pihak.

Jika belum sampai masa bayar hutang yang dijanjikan maka sunat hukumnya membayar hutang.

Jika sampai masa bayar hutang dan orang yang berhutang tidak lagi membayar hutang dan mahu pergi kerjakan fardu haji nescaya wajib atasnya meminta tangguh dengan tuan hutang. Jika dia tidak minta tangguh dan pergi mengerjakan haji nescaya haramlah perbuatannya itu kerana telah sampai masa yang dijanjikan membayar hutang pada hal dia tidak membayarnya tanpa uzur dan tetapi hajinya sah.

Jika hanya ada satu kesempatan yaitu bayar hutang atau pergi haji maka didulukan membayar hutang.

wallahua’lam
ustaz azhar idrus