
Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula hubungan sesama ahli keluarga. Ada kalanya perkara kecil pun boleh mencetuskan pertengkaran sehingga menyebabkan suasana rumah menjadi tegang. Justeru, doa keluarga bahagia antara amalan yang boleh diamalkan oleh ibu ayah.
Sudah tentu setiap ibu dan ayah mengimpikan sebuah keluarga yang bahagia, anak-anak yang saling menyayangi serta rumah tangga yang dipenuhi ketenangan.
Namun, dalam usaha membina keluarga bahagia, jangan sesekali kita mengabaikan kekuatan doa.
Menerusi perkongsian Ustazah Fatimah Syarha dalam video Keluarga Talk sebelum ini, terdapat ayat al-Quran yang boleh dijadikan panduan dalam membina keharmonian rumah tangga.

Selain berusaha memberikan yang terbaik buat pasangan dan anak-anak, ibu ayah juga boleh menjadikan doa keluarga bahagia sebagai salah satu amalan dalam kehidupan seharian.
Doa Keluarga Bahagia Agar Pasangan Dan Anak-Anak Menjadi Penyejuk Hati
Antara doa yang boleh dijadikan amalan setiap hari ialah Surah Al-Furqan, ayat 74.
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: Ya Allah, kurniakanlah kepada kami pasangan dan keturunan yang menjadi penyejuk hati serta jadikanlah kami teladan bagi orang yang bertakwa.
Doa ini merupakan permohonan agar pasangan dan anak-anak menjadi sumber kebahagiaan serta bersama-sama menuju kebaikan.

Elakkan Pertelingkahan Sesama Ahli Keluarga
Apabila berlaku perselisihan antara suami isteri mahupun pergaduhan sesama anak-anak, didiklah ahli keluarga agar mengutamakan perpaduan.
Ustazah Fatimah turut berkongsi Surah Al-Anfal, ayat 46 sebagai peringatan tentang pentingnya kesabaran dan menghindari perselisihan.
وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ وَاصْبِرُوا إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ
Maksudnya: Taatilah Allah dan Rasul-Nya, janganlah berselisih sehingga kamu menjadi lemah dan hilang kekuatan. Bersabarlah kerana sesungguhnya Allah bersama orang yang sabar.
Jangan Biarkan Ego Merosakkan Hubungan
Selain berdoa, ibu ayah juga perlu memainkan peranan dalam mewujudkan suasana rumah yang harmoni.
Biasakan diri untuk saling memaafkan, menjaga tutur kata, mendengar luahan anak-anak dan menyelesaikan perselisihan secara baik.
Tidak perlu menunggu sehingga rumah tangga dilanda masalah untuk mula berdoa. Jadikanlah doa sebagai amalan harian, termasuk selepas solat.
Hakikatnya, keluarga bahagia bukanlah keluarga yang tidak pernah diuji, tetapi keluarga yang sentiasa berusaha menjaga kasih sayang meskipun berdepan pelbagai dugaan.
Semoga Allah melembutkan hati pasangan dan anak-anak serta mengurniakan kebahagiaan buat keluarga kita semua. Amin.
BACA LAGI : Doa Ibu Ayah Untuk Anak SPM 2026, 4 Amalan Mustajab Penenang Hati
Sumber: Keluarga Talk, Ustazah Fatimah Syarha

