
Bukan mudah membesarkan empat anak seorang diri sambil bekerja dan belajar. Namun, segala cabaran itu tidak mematahkan semangat seorang ibu tunggal untuk mengejar impiannya.
Itulah kisah inspirasi Nur Aidilla Mohd Badrulshah, penjawat awam Jabatan Kerja Raya (JKR) yang berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) selepas lima tahun mengikuti pengajian jarak jauh.
Lebih menyentuh hati, kejayaan itu bukan sekadar untuk dirinya, tetapi demi membuktikan kepada anak-anak bahawa kesusahan hidup bukan penghalang untuk berjaya.
“Saya Mahu Anak-Anak Lihat Erti Ketabahan”
“Saya tidak mahu anak-anak saya hanya mendengar nasihat tentang ketabahan. Saya mahu mereka pernah melihat ketabahan hidup itu di hadapan mata mereka sendiri,” katanya.
Sepanjang pengajian, Nur Aidilla perlu berulang-alik dari Besut ke Kota Bharu setiap hujung minggu untuk menghadiri kelas.

Selepas ditukarkan ke JKR Dungun, perjuangannya diteruskan. Malah, ada kalanya dia perlu ke Kuala Lumpur untuk mengikuti pembelajaran.
Demi menjimatkan perbelanjaan, ibu empat anak itu menggunakan kereta atau motosikal mengikut kemampuan kewangan.
“Setiap ringgit perlu dipertimbangkan, setiap perjalanan perlu dirancang dan setiap masa perlu dimanfaatkan sebaiknya,” ujarnya.
“Saya Mungkin Tak Mampu Sediakan Segalanya…”
Walaupun berdepan keletihan dan kekangan masa, Nur Aidilla tetap cekal membahagikan tanggungjawab sebagai ibu, pekerja dan pelajar.
“Sebagai seorang ibu, saya mungkin tidak mampu menyediakan segala-galanya untuk anak-anak. Namun, saya boleh berusaha menjadi bukti bahawa seseorang tidak perlu menunggu kehidupannya sempurna sebelum berani mengejar impian,” katanya.
Baginya, kejayaan sebenar bukan sekadar menggenggam ijazah, tetapi apabila empat anaknya membesar dengan keyakinan bahawa mereka juga berhak mengejar cita-cita.
Kisah Nur Aidilla membuktikan bahawa di sebalik segulung ijazah, tersimpan pengorbanan besar seorang ibu yang tidak pernah mengalah demi masa depan dirinya dan anak-anak.
BACA SINI : Hampir Lapan Tahun Besarkan Anak Sendiri, Ibu Tunggal OKU Tetap Gigih Cari Rezeki
Sumber : news.utm

